Azizulhasni tidak letak sasaran tinggi di ACC

Astro Awani
Februari 26, 2013 22:58 MYT
Pelumba basikal sensasi trek negara, Azizulhasni Awang tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan berbasikal Asia ACC Delhi di India, Mac ini.
Ia susulan kelewatannya membuat persiapan gara-gara masalah permohonan visa untuk ke Melbourne, baru-baru ini.
"Saya baru kurang sebulan berlatih, jadi saya ke ACC ni untuk latihan untuk melihat prestasi semasa saya sebelum lakar program ke musim seterusnya," kata Azizul.
Tambah ‘The Pocket Rocketman’, cabaran beraksi di Olimpik kali ini lebih sukar berbanding sebelumnya.
Ia selepas sistem baru mensyaratkan pelumba Asia menyertai kejohanan ACC dan Grand Prix untuk ke Piala Dunia yang akan menentukan pungutan mata ke kejohanan dunia seterusnya ke Olimpik.
"Disitulah kita akan cari mata ke Olimpik... masalah visa masih tunggu ke India, harap-harap dapat sebelum Ahad ni," tambahnya.
Azizul sebelum ini terpaksa menunggu dan berlatih sendirian di Malaysia.
Ia selepas proses permohonan visanya untuk kembali menjalani latihan di Melbourne menemui jalan buntu.
Sepatutnya dia pulang ke Melbourne selepas isterinya, Athiah Ilyana selamat melahirkan cahaya mata.
#Asia ACC #Azizulhasni Awang #Delhi #India #Visa
;