Azizulhasni tidak akan keseorangan ke Tokyo
Bernama
Oktober 23, 2019 17:52 MYT
Oktober 23, 2019 17:52 MYT
Pencapaian emas acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 di Korea Selatan, Isnin lalu, memberi sinar buat skuad negara yang berkemungkinan mendapat dua slot dalam acara keirin dan pecut pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Sudah pastinya ia adalah khabar gembira buat jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang kerana beliau tidak akan bersendirian, selain impian menjadi kenyataan buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk beraksi di temasya terbesar dunia itu.
"Kalau dua orang ke Sukan Olimpik, itu akan jadi pendedahan kepada Shah Firdaus. Satu lagi, sekurang-kurangnya saya ada kawan untuk menjalani latihan dan juga ketika beraksi di pentas Olimpik nanti," katanya.
Menurut pelumba berusia 31 tahun itu yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketmen' itu, jika beliau mendapat slot dalam acara keirin, secara automatiknya mendapat satu slot 'percuma' untuk beraksi dalam acara pecut dan begitu juga sebaliknya.
"Yang penting mata yang ditawarkan untuk acara pecut banyak dan dengan meraih pingat emas, nampaklah sinar untuk kemungkinan saya layak untuk dua acara di Tokyo," kata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, pada Rabu.
Mengikut ranking terkini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam acara keirin, Azizulhasni turun satu anak tangga di tangga ketiga dengan 2,625 mata, manakala Yudai Nitta dari Jepun kekal mengungguli dengan 2,850 mata.
Bagi acara pecut pula, kedudukan Azizulhasni naik tiga anak tangga di kedudukan 16 dengan 1,547 mata, manakala Muhammad Shah Firdaus pula di kedudukan ke-24 dengan 1,357 mata.
Pada ACC 2020, Azizulhasni merangkul pingat perak dalam acara keirin dan emas dalam acara pecut.
Berdasarkan peraturan kelayakan Olimpik Tokyo yang dikeluarkan UCI, bagi acara pecut berpasukan, lapan pasukan terbaik dalam ranking Olimpik tanpa mengira benua akan layak secara automatik selain mendapat dua tiket tambahan untuk keirin dan pecut individu.
Selain kelayakan menerusi kelayakan berpasukan, tujuh pelumba terbaik bagi keirin dan pecut individu (ditolak lapan negara yang layak menerusi pecut berpasukan) turut layak ke Tokyo menerusi tiket individu.
Skuad berbasikal trek negara melakar sejarah tersendiri pada Olimpik Rio 2016 apabila menyumbang pingat buat kali pertama dalam sejarah sukan negara menerusi Azizulhasni yang meraih gangsa.
-- BERNAMA
#acc
#Azizulhasni Awang
#kejohanan berbasikal trek asia
#Korea Selatan
#Muhammad Shah Firdaus Sahrom
#Olimpik Tokyo
#pencapaian emas azizulhasni
#sukan berbasikal
#Sukan Olimpik