Azizulhasni tetap wira sebenar negara - PM Muhyiddin

Astro Awani
Ogos 8, 2021 22:33 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang video bersama Datuk Azizulhasni Awang, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap jaguh trek negara Datuk Azizulhasni Awang sebagai wira sebenar untuk Malaysia.
Muhyiddin juga berharap pada Sukan Olimpik akan datang, acara keirin lelaki dapat menyumbang pingat emas kepada negara.
"Saya juga nak menyatakan rasa bangga kerana bagi kami, you hero lah (anda wira) Datuk Azizulhasni, walaupun saya mengikuti dari jauh tapi saya faham tentang ini kerana saya pernah jadi Menteri Belia dan Sukan.
"So you are the real champion for us in Malaysia, jadi saya sekali lagi nak ucap tahniah dan saya nak ucap terima kasih kepada Azizul dan semua yang lain yang bekerja kuat.
"Bagi kita yang berada di Kuala Lumpur kita memang menantikan saat ini, dan Insya-Allah Sukan Olimpik akan datang saya doakan akan dapat emas dan ia mesti datang dari acara keirin," katanya ketika membuat panggilan video kepada Azizulhasni yang ditemani Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Muhammad Shah Firdaus Sharom
BACA: Tokyo 2020: Azizulhasni raih kilauan perak untuk Malaysia
Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Azizulhasni Awang yang bakal menimang cahaya mata ketiga.
Selain itu, perdana menteri turut mendokan kesihatan bapa Azizulhasni yang diserang penyakit strok agar segera sembuh.
"Saya juga nak ucap tahniah kerana kata nak dapat bakal cahaya mata yang ketiga, kira-kira anak emas lah tu dan saya doakan ayah Azizul sihat," katanya lagi.
Sementara itu, Azizulhasni merakamkan penghargaannya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang telah diberikan.
Azizulhasni berjanji, pada Sukan Olimpik akan datang, beliau dan seorang lagi pelumba basikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan berusaha memenangi pingat emas buat negara.
"Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan Tan Sri dan seluruh rakyat Malaysia dan warga Kementerian Belia dan Sukan.
"Tanpa sokongan ini kita tidak dapat mencapai kejayaan ini dan saya akan usahakan pingat emas di Paris pada Sukan Olimpik akan datang," kata Azizulhasni.
Pada saingan peringkat akhir acara keirin Sukan Olimpik 2020 yang berlangsung hari ini, Azizulhasni menyumbang pingat perak kepada negara.
#Muhyiddin Yassin #Azizulhasni Awang #Muhammad Shah Firdaus #basikal #pelumba basikal #Sukan Olimpik Tokyo #Paris #Tokyo 2020
;