Azizulhasni teruskan misi emas Paris 2024 selepas jalani pembedahan jantung

Astro Arena
Mei 2, 2022 09:25 MYT
Azizulhasni dilaporkan menghidap anomalous aortic origin of a coronary artery dan perlu berehat sekurang-kurangnya enam bulan selepas pembedahan itu. - Gambar fail
SELEPAS sekian lama menyepi, pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, akhirnya memaklumkan bahawa dia baru sahaja menjalani pembedahan jantung di Melbourne, Australia pada 21 April lalu.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dilaporkan menghidap anomalous aortic origin of a coronary artery (AAOCA) dan perlu berehat sekurang-kurangnya untuk enam bulan selepas pembedahan itu.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, Azizulhasni berkata misinya untuk memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024 akan tetap diteruskan demi negara.
"Jika ditanya apa yang menjadi motivasi saya (untuk terus memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024), sudah pasti anak-anak, isteri dan keluarga saya, termasuk juga pihak-pihak seperti MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia), PKBM (Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).
"Merekalah yang memberikan sokongan sepenuhnya buat saya, termasuklah juga penaja saya.
"Untuk tahun ini, bagi saya memang hanya untuk pemulihan dahulu dan saya rasa untuk tahun depan dan tahun berikutnya, sepatutnya tiada masalah untuk saya menyertai kejohanan.
"Saya sudah berbincang dengan pasukan, termasuk jurulatih John Beasley, dan kalau semuanya berjalan lancar, Insya-Allah misi saya untuk ke Paris masih lagi cerah dan disebabkan itu, saya perlu pulih sebaik mungkin, tidak boleh terburu-buru dan melakukan perkara yang betul," katanya.
#Azizulhasni Awang #pembedahan jantung #Sukan Olimpik Paris 2024 #Berbasikal Trek
;