Azizulhasni tekad bawa pulang emas Olimpik
Sinar Harian
Februari 2, 2023 09:00 MYT
Februari 2, 2023 09:00 MYT
JAGUH berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang sedia menggalas tanggungjawab bagi merealisasikan impian membawa pulang pingat emas sulung Sukan Olimpik.
Malah, Azizulhasni turut mencabar mana-mana atlet negara untuk bersama-samanya memikul amanah besar itu sebagai sandaran memenangi emas pertama di pentas Olimpik Paris 2024.
“Saya sahut cabaran dan tanggungjawab berkenaan (memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024) memandangkan saya antara atlet paling senior.
“Namun, kita tidak boleh ghairah semata-mata meletakkan harapan kepada saya sahaja. Sudah tiba masanya kita juga perlu meletakkan harapan kepada pelumba atau atlet muda daripada sukan lain.
“Saya harap dengan adanya semua atlet ini, kita dapat merealisasikan impian berkenaan,” katanya ketika sidang akhbar selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Bukit Jalil pada Selasa.
Ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada Ogos 2021, Azizulhasni yang diletakkan sandaran untuk meraih emas, terpaksa berpuas hati dengan kejayaan membawa pulang perak dalam acara keirin.
Pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016, Azizulhasni yang terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman menyambar pingat gangsa dalam acara kegemarannya itu. - Sinar Harian