Azizulhasni: Tajaan Sime Darby pembakar semangat

Astro Awani
Februari 26, 2013 22:20 MYT
Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang menyifatkan kepercayaan berterusan daripada Yayasan Sime Darby (YSD) sebagai pembakar semangat kepadanya untuk membutirkan pingat di Olimpik Rio 2016.
YSD pada Selasa telah memperuntukkan penajaan sebanyak RM2.85 juta kepada Azizul dan seorang lagi pelumba, Fatehah Mustapa.
"Sebenarnya kita berkemampuan untuk memenangi pingat di kejohanan antarabangsa dan Olimpik... walaupun kita gagal raih pingat di Olimpik lampau kita bukan gagal sekali dan selamanya... sebenarnya kita mampu dan berusaha lebih keras lagi," kata Azizul.
Menerusi pembiayaan YSD sebelum ini, Azizul layak ke final acara keirin individu lelaki di sukan Olimpik London.
Turut cemerlang, Fatehah yang berjaya menempatkan diri buat kali pertama pada temasya terbesar di dunia itu, tahun lalu.
Lantas, tidak mustahil dengan tumpuan hanya diberikan kepada dua pelumba ini, impian negara untuk melihat pingat dari sukan berbasikal trek di Olimpik bakal tercapai.
Azizul dan Fatehah akan memulakan program ‘Road to Rio 2016’ dengan penyertaan ke kejohanan berbasikal Asia ACC Delhi di India, bulan depan.
#Azizulhasni Awang #Fatehah Mustapa #Yayasan Sime Darby #YSD
;