Azizulhasni, skuad berbasikal trek negara tiba di Olimpik Paris 2024
Sinar Harian
Ogos 2, 2024 19:00 MYT
Ogos 2, 2024 19:00 MYT
SKUAD berbasikal trek negara tiba di Perkampungan Olimpik Paris 2024 di utara Paris yang menempatkan 14,000 atlet di kawasan seluas 52 hektar bagi memulakan kempen di temasya tersebut.
“Alhamdulillah syukur, kami sangat teruja untuk berada di sini dan tidak sabar untuk sesi latihan rasmi pertama kami.
“Lima hari lagi untuk pertandingan saya,” kata jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang.
Azizulhasni bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sebelum ini menjalani latihan di Velodrom Illes Balears, Mallorca, Sepanyol.
Pelumba berusia 36 tahun itu yang diberi julukan The Pocket Rocketman akan memulakan kempen acara pecut individu yang dijadualkan berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines pada 7 Ogos ini.
Selain itu, Azizulhasni yang beraksi di Olimpik bermula edisi Beijing 2008, London 2012, Rio de Janeiro 2016 dan Tokyo 2020, turut akan beraksi dalam acara keirin pada 10 Ogos ini.
Sebagai rekod, pelumba kelahiran Dungun Terengganu itu berjaya meraih gangsa dan perak, masing-masing di Rio 2016 dan Tokyo 2020 kini mengintai kilauan pingat emas sebelum mengakhiri karier sebagai pelumba.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Sukan Olimpik Paris 2024
#skuad berbasikal trek negara
#Azizulhasni Awang
#tiba di perkampungan sukan