Azizulhasni, Shah Firdaus mula kempen Olimpik bergaya, lepasi pusingan kelayakan acara pecut
Astro Awani
Ogos 7, 2024 19:48 MYT
Ogos 7, 2024 19:48 MYT
KUALA LUMPUR: Dua jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom membuka kempen Sukan Olimpik 2024 dengan langkah kanan apabila melepasi pusingan kelayakan acara pecut.
Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman merekodkan catatan masa 9.402 saat, manakala Shah Firdaus pula merekodkan catatan masa 9.635s.
Catatan tersebut menyaksikan Azizulhasni menduduki tangga ke-10, sekali gus berjaya memecah rekod kebangsaan yang dilakukannya pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 dengan catatan masa 9.523s.
Manakala Shah Firdaus pula berada tangga ke-22 daripada 24 pelumba yang layak ke pusingan 1/32 yang akan bermula 8.30 malam ini.
Azizulhasni dijadual berdepan Luca Spiegel dari Jerman di pusingan pertama manakala Shah Firdaus berdepan pelumba Israel, Mikhail Iakovlev.
Seramai 30 pelumpa terlibat dalam pusingan kelayakan pecut termasuk jaguh-jaguh dunia seperti Harrie Lavreysen, Jack Carlin, Matthew Richardson dan pemegang rekod dunia dari Trinidad dan Tobago, Paul Nicholas.
Pelumba Belanda, Lavreysen mencatatkan masa terpantas dan mencipta rekod dunia baharu dalam acara berkenaan dengan 9.088s diikuti pelumpa Australia, Richardson (9.091s).
Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Shah Firdaus memulakan aksi hari ini hingga Jumaat, termasuk akan bersaing dalam acara kegemaran mereka iaitu keirin lelaki.