Azizulhasni sertai kejohanan pemanas badan di China menjelang Sukan Asia
Bernama
Julai 7, 2018 19:00 MYT
Julai 7, 2018 19:00 MYT
Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang akan menggunakan peluang beraksi di Piala Trek China di Taiyuan, China sebagai persediaan terakhir serta pemanas badan sebelum memulakan cabaran Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini.
Juara dunia itu berkata kejohanan yang dijadualkan bermula pada 25 hingga 28 Julai ini merupakan medan menguji tahap prestasinya dan mencari kelemahan menjelang Sukan Asia.
"Kejohanan ini juga membolehkan saya mengutip mata bagi saingan siri Piala Dunia. Bercakap mengenai sasaran, saya sentiasa meletakkan sasaran podium apabila bersaing namun masih belum dapat senarai pelumba yang bersaing di China nanti.
"Apa yang penting, saya kena pastikan supaya saya tidak terlibat dengan sebarang perlanggaran (crash) semasa berlumba kerana ia mungkin memberi kesan untuk aksi di Jakarta nanti," katanya ketika hadir menyaksikan perlumbaan CIMB Cycle 2018 di Litar Sepang Antarabangsa, hari ini.
Perlumbaan itu yang melibatkan dua kategori iaitu 90km dan 160km telah menarik penyertaan lebih 3,000 peserta dari 26 negara.
Pada Sukan Asia nanti, beliau dijadualkan menyertai tiga acara iaitu keirin, pecut individu dan pecut berpasukan.
Pelumba basikal yang terkenal dengan nama jolokan The Pocketrocketman itu mengakui Sukan Asia kali ini menjadi medan untuknya memburu pingat selepas insiden jangkitan virus ketika menyertai Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel, awal tahun ini.
"Saya sudah pulih sepenuhnya cuma perlu menjalani pemeriksaan dengan doktor di Institut Sukan Negara (ISN) untuk pengesahan bagi memenuhi regulasi yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)," katanya.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang
#basikal
#China
#Indonesia
#jaguh trek negara
#Piala Trek China
#Sukan Asia
#Taiyuan
#The Pocketrocketman