Azizulhasni prospek emas Olimpik Tokyo 2020

Bernama
April 23, 2019 04:17 MYT
Azizulhasni Awang ketika sesi latihan pemanas badan untuk menghadapi temasya Sukan Asia 2018 di Velodrome National. - Foto fail
Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang antara prospek utama penyumbang emas pertama negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq menyuarakan keyakinannya itu pada sidang media sempena setahun PH membentuk kerajaan selepas menerima laporan khas mengenai perkembangan atlet kelahiran Dungun berusia 31 tahun itu.
Katanya, bekas juara dunia dalam acara keirin itu bakal didedahkan dengan pelbagai program latihan di peringkat antarabangsa bagi memastikan misi emas Olimpik pertama negara tercapai.
"Saya dapat laporan khas yang agak sulit berkaitan perkembangan raja pecut iaitu Azizulhasni dan akan ada banyak latihan antarabangsa yang akan beliau lalui untuk pastikan kita berada dalam landasan yang betul (untuk memenangi emas pertama)," jelas beliau.
Syed Saddiq turut mengakui, sukan berbasikal merupakan antara sandaran penyumbang pingat emas tersebut, dan Azizulhasni menampilkan kesungguhan dan semangat untuk merealisasikan impian itu.
"Sukan berbasikal memang satu acara yang mana kita letak harapan untuk pingat emas. Azizulhasni merupakan wira negara... dia amat fokus dan amat yakin ...dia punya mentaliti juara itu tersemat di hati," tambahnya.
Pada masa sama, Syed Saddiq berkata pihaknya bersama pemegang taruh lain akan terus menggembleng tenaga dan berusaha memastikan pingat emas pertama negara hadir di Tokyo.
"Walaupun kita tak pernah raih pingat emas tersebut, tetapi impian itu berterusan dan terus hidup dan kita akan berusaha sekuat mungkin untuk pastikan bahawa pada Olimpik Tokyo 2020 kita dapat pingat emas yang dah lama ditunggu," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia berjaya merangkul tujuh pingat perak dan empat gangsa sepanjang penyertaan dalam temasya sukan terbesar dunia itu sejak 1964.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang #jaguh berbasikal #kerajaan #Olimpik #pingat emas #sukan #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #Tokyo
;