Azizulhasni pejuang sejati

Sinar Harian
Mac 17, 2023 08:04 MYT
Abu Samah percaya Azizulhasni memiliki ramuan tersendiri untuk mengekalkan kondisi terbaik menjelang temasya Olimpik 2024. - Gambar SINAR HARIAN
“AZIZULHASNI seorang fighter. Saya pasti dia mampu menangani masalah kecederaan yang dialami dalam misinya memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris (2024) tahun depan.”
Itu reaksi Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab ketika diminta mengulas perkhabaran terbaharu jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang di Kaherah, Mesir.
Pada Rabu, Azizulhasni memaklumkan dia mengalami kecederaan sehingga terpaksa menarik diri daripada menyertai Piala Negara-Negara UCI di Kaherah minggu ini.
Perkhabaran itu telah mencetuskan kebimbangan ramai pihak tatkala pelumba berusia 35 tahun itu menjadi prospek terbaik Malaysia dalam misi meraih pingat emas sulung Sukan Olimpik di bumi Paris.
Mengulas lanjut, Abu Samah percaya Azizulhasni yang terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman memiliki ramuan tersendiri untuk mengekalkan kondisi terbaik menjelang temasya Olimpik 2024.
“Jangan terlalu bimbang, apa yang perlu kita lakukan sekarang, terus beri sokongan kepada Azizulhasni. Saya masih ingat insiden dia tertusuk kayu sepanjang 10 sentimeter di Manchester pada 2011.
“Tahun lalu pula kita dikejutkan dengan masalah jantung yang dialami Azizulhasni. Kalau ikutkan atas nasihat doktor, Azizulhasni memang sukar hendak sembuh dalam masa yang singkat.
“Tetapi Azizulhasni seorang pelumba basikal yang sangat unik, satu dalam sejuta. Dia memiliki semangat juang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana atlet.
“Saya percaya dia ada acara tersendiri untuk sembuh. Dia masih mempunyai masa untuk mempersiapkan kondisi badannya menjelang Sukan Olimpik di Paris nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Pada masa sama, Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, beliau akan sentiasa memantau perkembangan kecederaan Azizulhasni.
“Pihak PKBM bersedia untuk melakukan apa sahaja demi membantu Azizulhasni. Malah, saya yakin (ketua jurulatih) John Beasley memiliki pengalaman luas untuk menangani situasi dialami Azizulhasni,” jelasnya.
Bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, Azizulhasni dan beberapa pelumba negara yang lain perlu menduduki kelompok 30 terbaik dunia dalam acara keirin atau pecut sebelum tarikh akhir pada 14 April 2024.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Azizulhasni Awang #The Pocket Rocketman #Azizulhasni tarik diri #Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia
;