KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang membuktikan bahawa beliau masih berbisa dan menjadi pencabar pingat pada Olimpik Paris 2024, apabila meraih pingat perak di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pelumba berusia 35 tahun yang melakukan pembedahan jantung terbuka pada April lepas, berjaya menamatkan saingan keirin lelaki di tempat kedua dengan catatan masa 10.263 saat di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, malam ini.

Pemenang pingat perak keirin Olimpik Tokyo 2020 itu, hanya sedikit ketinggalan di belakang juara dunia tiga kali berturut-turut sejak 2020, Harrie Lavreysen dari Belanda yang mencatatkan masa 10.239 saat pada final acara itu.

Pelumba Israel Mikhail Yakovlev membawa pulang gangsa dengan catatan 10.423 saat, manakala seorang lagi wakil negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak berjaya menamatkan final itu selepas terlibat dalam kemalangan dengan pelumba New Zealand, Sam Dakin pada pusingan terakhir.

Mohd Azizulhasni, yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman seterusnya dijadualkan beraksi dalam acara pecut esok.

Beliau menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, sebelum kembali beraksi pada penghujung tahun lepas.

Terdahulu, Muhammad Ridwan Sahrom gagal melayakkan diri ke suku akhir, selepas terkandas pada repechage pusingan pertama.

Sementara itu, pelumba meningkat naik Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pula, terkandas pada pusingan final 1/16 acara pecut wanita.

Pelumba berusia 19 tahun itu, merupakan satu-satunya wakil negara yang berjaya melepasi pusingan kelayakan acara itu, tewas kepada pemenang pingat perak keirin Kejohanan Dunia 2021 dan 2022 Mina Sato dari Jepun.

-- BERNAMA