Azizulhasni kini nombor 1 dalam ranking dunia acara pecut individu
Bernama
Februari 10, 2021 13:30 MYT
Februari 10, 2021 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Ikon berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih suntikan semangat dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini selepas menghuni kedudukan teratas dalam ranking dunia acara pecut individu.
"Saya gembira dengan ranking semasa ini. Sudah tentu ia menjadi pembakar semangat buat saya dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo. Bagi saya, ia juga berita gembira buat arena sukan berbasikal negara.
"Saya berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan saya memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo nanti," katanya kepada Bernama, hari ini.
Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) semalam (9 Feb), pelumba yang dikenali dengan julukan 'The Pocket Rocketman' itu mengumpul 1,600 mata untuk berada di tangga teratas.
Pelumba Jepun Tomohiro Fukaya pada kedudukan kedua dengan 1,442.5 mata diikuti Sam Webster dari New Zealand mengumpul 1,390 mata di tempat ketiga.
Dalam acara keirin, Mohd Azizulhasni berada pada kedudukan kedua setelah meraih 1,740 mata di belakang Kevin Quintero dari Colombia yang mengumpul 1,790 mata.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga berharap berita gembira itu menjadi sumber inspirasi kepada atlet muda negara dalam mengejar cita-cita mereka bagi mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.
Sementara itu, dalam ciapan Twitter Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan tahniah atas pencapaian Mohd Azizulhasni itu.
"You've already been number 1 in Malaysia for so long...and now you've taken your well deserved spot at the top of the world. Steady Jijoe! @AzizulAWANG Keep it up. (Anda sudah pun menjadi nombor satu di Malaysia sejak sekian lama...dan kini anda mendapat tempat yang selayaknya di dunia)," kata Reezal Merican menerusi akaun Twitter @reezal_merican, hari ini.
Bagi kategori pecut individu, rakan seperjuangan Mohd Azizulhasni, iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada di tangga ke-18 dunia dengan 922.5 mata, Muhammad Fadhil Mohd Zonis pada kedudukan ke-103 dengan 237 mata, manakala Amar Danial Masri di tempat ke-248 selepas meraih 75 mata. - BERNAMA
#Azizulhasni Awang
#The Pocket Rocketman
#nombor 1
#Kesatuan Berbasikal Antarabangsa
#UCI
#acara pecut individu
#individual sprint
#keirin
#Sukan Olimpik Tokyo