Azizulhasni kenang jasa MSN
Sinar Harian
Oktober 21, 2024 10:15 MYT
Oktober 21, 2024 10:15 MYT
JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menghargai jasa Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjadi tulang belakang sepanjang kariernya sejak 20 tahun lalu.
Pelumba berusia 36 tahun itu mendedahkan turut berkongsi hala tuju masa depannya bersama barisan kepimpinan MSN.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk berjumpa dengan pihak MSN untuk berkongsi perancangan masa hadapan saya.
“MSN telah memainkan peranan yang amat penting dalam perjalanan karier saya selama ini. Pembabitan saya dalam program MSN adalah sejak tahun 2004 apabila saya menyertai skuad pelapis negara di bawah jurulatih Russia, Nikolai Kletsov.
“Oleh sebab itu segala jasa yang ditaburkan tidak pernah saya lupakan,” katanya.
MSN negara diwakili Timbalan Ketua Pengarahnya (Pembangunan Sukan), Jefri Ngadirin, manakala Azizulhasni ditemani jurulatihnya, John Beasley.
Pelumba yang berasal dari Terengganu itu pada Sukan Olimpik 2024 di Paris Ogos lalu terlepas impian untuk menghadiahkan pingat emas buat negara.
Ia susulan Azizulhasni gagal meneruskan saingan dalam acara keirin selepas dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama gara-gara kesalahan memintas pacer.
Beliau yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman juga meluahkan rasa bangga dengan barisan kepimpinan MSN ketika ini.
“Saya amat gembira kerana kepimpinan MSN sekarang adalah jauh lebih baik dari era sebelum ini. Barisan kepimpinan muda juga banyak yang berbakat dan mempunyai potensi besar untuk pergi lebih jauh.
“Ucapan ribuan terima kasih kerana menjadi tulang belakang kepada karier saya selama ini dan sentiasa menyokong apa jua perancangan yang saya tujui.
“Semoga arena sukan negara akan terus berkembang maju dan memberikan manfaat kepada masyarakat serta negara,” ujar Azizulhasni. - Sinar Harian