Azizulhasni kembali gegar Velodrom Nilai
Bernama
Mei 16, 2023 22:18 MYT
Mei 16, 2023 22:18 MYT
NILAI: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memperagakan kayuhan cemerlang untuk mengungguli acara pecut lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 di Velodrom Nasional hari ini.
Dalam aksi penentuan pingat emas, The Pocket Rocketman yang mewakili Terengganu mengetepikan rakan seperjuangannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mewakili Johor.
Seorang lagi pelumba Johor yang juga adik kepada Muhammad Shah Firdaus, Muhammad Ridwan pula di tempat ketiga menewaskan Muhammad Fadhil Mohd Zonis yang mewakili Selangor.
Mohd Azizulhasni, 35, ketika ditemui Bernama menyifatkan perlumbaan hari ini agak mencabar namun menyeronokkan selain dapat mempamerkan aksi menarik bersama rakan-rakan seperjuangan dalam skuad berbasikal trek kebangsaan.
"Sejujurnya perlumbaan memang sengit sebab kita semua memang rakan seperlatihan dan semuanya bertaraf dunia macam Muhammad Shah Firdaus. Namun, sebenarnya saya dapat menjangka pertarungan semasa final agak susah namun ia satu perlumbaan yang menarik.
"Kesihatan saya pun baik, namun tidak berada dalam kemuncak prestasi dan masih berusaha untuk membina semula stamina secara berperingkat," katanya.
Pemenang pingat perak keirin Olimpik 2020 itu tidak menyertai Kejohanan Trek Kebangsaan pada edisi lepas kerana sedang menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung.
Sementara itu, pelumba muda negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bangga apabila berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya edisi lepas, selepas menewaskan pelumba berpengalaman Anis Amira Rosidi dari Perlis.
Pelumba berusia 20 tahun dari Kedah yang kini membuat penampilan kali keempat dalam kejohanan berkenaan berkata kemenangan itu menjadi pembakar semangat buat dirinya yang akan menyertai Piala Berbasikal Trek Antarabangsa Hong Kong, hujung bulan ini.
"Alhamdullilah saya gembira kerana berjaya memenangi emas sekali lagi... Saya berharap akan lebih cemerlang dalam kejohanan selepas ini," katanya.
Pelumba Pulau Pinang Nurul Alina Syafika Azizan pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang
#velodrom nilai
#Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan
#jaguh berbasikal trek negara