Azizulhasni bangga wakili 32 juta rakyat Malaysia, harap semangat perpaduan terus kukuh
Umavathi Ramayah
Ogos 12, 2021 14:55 MYT
Ogos 12, 2021 14:55 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menzahirkan rasa bangga kerana diberi peluang untuk mewakili 32 juta rakyat Malaysia untuk berjuang demi negara di sukan Olimpik Tokyo, baru-baru ini.
Dalam satu perkongsian di Instagramnya, anak kelahiran Dungun, Terengganu itu mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepada perjalanan kariernya dan perjuangan di sukan itu.
"Terima kasih kerana sentiasa memberikan kata-kata semangat yang amat positif dan kerana sentiasa mendoakan kejayaan saya.
"Saya amat terharu bila dapat tahu ramai yang terpaku di hadapan kaca television mahupun telefon untuk menyaksikan saya beraksi. Ada yang melompat-melompat dan ada juga bertempik dan berteriak sakan. Ada rakan tunjukkan video yang satu bangunan apartmen bergegar bersorak ketika saya beraksi," katanya di sini, pada Khamis.
Azizulhasni yang merangkul pingat perak pertama melalui acara Keirin di Sukan Olimpik Tokyo itu memberitahu, sukan itu menyatupadukan semua rakyat Malaysia.
Katanya, beliau amat berharap perpaduan itu tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya semua perlu terus hidup berdiri teguh bercerai roboh seperti mana ketika menyaksikan atlet-atlet negara berjuang di temasya Sukan Olimpik Tokyo tempoh hari.
"Saya memang percaya yang kita adalah satu bangsa dan satu negara dan itulah yang membuatkan negara tercinta kita Malaysia unik di mata dunia.
"Kita rakyat Malaysia semua hebat-hebat belaka. Kita boleh menakluki dunia dalam pelbagai bidang dan perkara dan kita telah pun membuktikannya kepada dunia," ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia tidak kira di mana jua berada, supaya percaya kepada diri sendiri yang mereka boleh berjaya tidak kira dalam apa jua bidang.
Menurutnya, tidak ada apa yang mustahil dalam kehidupan ini dan setiap kita pasti boleh mencapai apa-apa kejayaan tetapi haruslah bermula dengan sebuah ‘kepercayaan’.
"Saya percaya semua dari kita ingin Malaysia menjadi sebuah negara yang amat hebat. Untuk sesebuah negara itu menjadi hebat, ia perlu mempunyai rakyat yang hebat.
"Untuk mempunyai rakyat yang hebat pula adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita semua untuk mempunyai sikap dan mentaliti yang hebat.
"Bermula pada hari ini, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadi individu yang hebat dan juga membantu orang di sekeliling kita untuk juga jadi orang-orang yang hebat. Ayuh bangsaku, bangkitkan kesedaran," tambahnya lagi.
.
#Sukan Olimpik Tokyo
#Azizulhasni Awang
#rakyat Malaysia
#pelumba basikal
#pingat perak
#sukan
#Kementerian Belia dan Sukan