Azizulhasni Awang dalam tempoh berehat - Reezal Merican
Astro Awani
Mei 1, 2022 17:44 MYT
Mei 1, 2022 17:44 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berada dalam tempoh berehat di rumahnya di Melbourne, Australia.
Beliau menghubungi Azizul pada Ahad selepas atlet itu mengesahkan telah menjalani pembedahan jantung pada 21 April lalu kerana mengalami masalah yang dipanggil ‘anomalous aortic origin of right coronary artery’ (AOORCA).
“The Pocket Rocketman dilapor tidak sihat sebelum ini namun dalam keadaan stabil.
“Beliau kini dalam pemerhatian dan pengawasan pakar perubatan di Melbourne,” kata Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu menerusi akaun media sosialnya.
Sehubungan itu, Reezal menyeru kepada rakyat untuk mendoakan agar atlet tersebut diberikan kesembuhan dan kesihatan seperti sedia kala.
Pada Ahad, Azizul menerusi satu sidang media secara maya berkongsi pengalamannya menjalani pembedahan jantung di Hospital Epworth Richmound, Melbourne pada 21 April.
Rawatan Azizul berjalan dengan lancar dan beliau dibenarkan keluar dari hospital lima hari kemudian.