Azizulhasni ada sebab tewas kepada Shah Firdaus
Astro Arena
Mac 29, 2021 18:20 MYT
Mac 29, 2021 18:20 MYT
JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, mendedahkan punca kekalahan kedua berturut-turutnya kepada rakan sepelatih, Shah Firdaus Sahrom, dengan yang terbaharu dalam final acara keirin Kejohanan Kebangsaan Australia semalam.
Realitinya, The Pocketrocketman tidak bimbang dengan siri kekalahan itu berbaki lima bulan menjelang Sukan Olimpik Tokyo, hujung Julai depan.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut Azizulhasni kepada Shah Firdaus dalam acara keirin, sebulan selepas Kejohanan Trek Victoria di mana Shah Firdaus jauh meninggalkan pencabar lain dalam aksi final.
Juara dunia edisi 2017 itu sedang menguji taktikalnya menjelang misi penting di Tokyo.
"Apa yang penting, kejohanan ini adalah untuk mencabar diri saya, di mana saya menggunakan taktik yang agak sukar dalam perlumbaan ini," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.
"Saya ke depan dengan awal, melakukan pecutan jarak jauh, itu semua perkara yang saya perlu tingkatkan.
"Jika saya tidak menggunakan peluang dalam aksi kompetitif tinggi seperti ini untuk mencuba perancangan dan mencabar diri untuk melihat tahap saya, tiada tempat lain untuk saya melakukannya," katanya.
Azizulhasni melakukan 'seiko', iaitu taktik pecutan jarak jauh yang biasa digunakan pelumba Eropah, yang memiliki kuasa pecutan tinggi ekoran kelebihan fizikal.
Baginya, walaupun tewas, apa yang lebih penting adalah Malaysia mempertahankan pingat emas acara keirin dalam Kejohanan Kebangsaan Australia buat tahun kedua berturut-turut.
"Shah Firdaus, jika dalam sukan badminton, dia seperti Lee Zii Jia. Kalau dalam badminton kita ada Lee Zii Jia, dalam berbasikal trek kita ada Shah Firdaus. Generasi seterusnya.
"Saya lihat kebangkitannya dalam tahun 2020 dan 2021 memang amat bagus.
"Saya gembira kerana kalau boleh, saya mahukan lebih ramai lagi pelumba sepertinya," tambahnya.
#Azizulhasni Awang
#aguh berbasikal trek negara
#The Pocketrocketman
#Olimpik Tokyo
#Olimpik
#Malaysia
#Shah Firdaus Sahrom
#Tokyo
#sukan