Azeem, Khairul Hafiz layak ke separuh akhir
Bernama
Julai 13, 2023 04:15 MYT
Julai 13, 2023 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pelari pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Khairul Hafiz Jantan masing-masing layak ke separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok, pada Khamis.
Muhammad Azeem yang digelar 'Usain Bolt Malaysia' mengungguli saringan kedua dengan catatan 10.24 saat (s) meninggalkan pencabarnya Lee Hong Kit (10.46s) dari Hong Kong di tempat kedua dan Ali Anwar Ali Al Balushi (10.61s) dari Oman ketiga.
Khairul Hafiz turut menempah slot separuh akhir apabila menduduki tempat keempat pada saringan pertama dengan catatan 10.46s sekali gus berada dalam kelompok 24 pelari terbaik.
Hanya 24 pelari terbaik layak ke separuh akhir 100m lelaki.
Acara 100m wanita pula menyaksikan Zaidatul Husniah Zulkifli turut mara ke separuh akhir selepas melakukan catatan terbaik peribadi 11.56s, mengatasi 11.59s yang dilakukannya di Weinheim, Jerman pada 2018.
Meskipun menamatkan larian di kedudukan keempat pada saringan kedua, Zaidatul layak ke pusingan seterusnya kerana berada dalam kelompok 16 terbaik daripada keseluruhan 19 peserta.
Hanya 16 peserta layak ke separuh akhir acara 100m wanita.
Sementara itu, Mohd Rizzua Haizad Muhammad gagal ke final acara 110m lari berpagar lelaki selepas sekadar menduduki tempat keempat pada saringan kedua dengan catatan 13.85s.
Tempat pertama dan kedua setiap saringan serta dua lagi pelari terbaik daripada keseluruhan 20 peserta mara ke final acara itu.
Dalam pada itu, jaguh lontar tukul besi Grace Wong Xiu Mei terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada wakil Uzbekistan, Zarina Nosirjonova yang melakukan lontaran 58.47m.
Grace Wong yang melakukan lontaran 57.99m, mengetepikan peserta tuan rumah Panwat Gimsrang yang meraih gangsa dengan lontaran 57.14m.
-- BERNAMA