Azeem Fahmi mahu terus perbaiki catatan peribadi di Amerika Syarikat
Astro Arena
April 6, 2023 00:43 MYT
April 6, 2023 00:43 MYT
Pelari pecut negara, Azeem Fahmi, mahu terus memperbaiki catatan masa peribadinya di Amerika Syarikat.
Baginya, rekod 10.32 saat yang dicatatkannya ketika menjuaraai Kejohanan Florida State University (FSU) baru-baru ini masih belum meletakkannya di zon selesa.
Ini kerana pelari berusia 18 tahun itu meletakkan sasaran untuk mencatatkan 10.20 saat dalam Kejohanan Cameron Burrel Alumni Invitational di Houston bermula esok.
Azeem, bagaimanapun, mengakui perlu menyesuaikan diri terhadap latihan pada awal pagi sepanjang bulan Ramadan memandangkan masalah dehidrasi boleh menjadi masalah utama terhadap prestasinya.
"Alhamdulillah, daripada segi persiapan, semuanya berjalan dengan lancar," katanya kepada wartawan Astro Arena Fatin Shazwani.
"Walaupun saya berlatih dalam bulan Ramadan dan perlu tukar jadual latihan kepada awal pagi selepas sahur, saya dapat menyesuaikan diri dengan baik dan sepatutnya tidak ada masalah.
"Tetapi saya masih agak risau dengan keadaan badan yang kurang hidrasi di bulan Ramadan.
"Kita akan lihat bagaimana hari kejohanan nanti dan harap-harap semuanya akan berjalan dengan baik.
"Insya-Allah, saya akan mencuba buat yang terbaik untuk meningkatkan ranking saya dalam kelompok atlet di peringkat kolej.
"Kekuatan mereka memang berbeza tetapi selepas beberapa kali bersaing dengan mereka, saya rasa tiada beza di antara kami dan ia hanya mengenai bagaimana usaha keras anda dan mentaliti anda," katanya.