Azeem Fahmi buru catatan bawah 10.20s
Astro Arena
Mac 23, 2023 22:08 MYT
Mac 23, 2023 22:08 MYT
Pelari sensasi olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi, menyasarkan larian di bawah catatan 10.20 saat pada penampilan pertamanya saingan 100 meter sejak berguru di Amerika Syarikat empat bulan lalu.
Pelajar berusia 18 tahun di Universiti Auburn itu merekodkan tiga penampilan saingan 60m dalam dewan - dengan melakar rekod kebangsaan namun Azeem enggan terus dibuai kejayaan lalu - sebaliknya menegaskan acara reben biru itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan saingan 60m dalam dewan.
"Secara peribadi, saya berharap untuk melakukan larian yang lebih baik daripada catatan 10.20s kerana ia akan menentukan perkembangan larian saya," kata Azeem.
"Perancangan yang dilakukan dengan baik serta bijak dan cuba menggunakan setiap teknik yang diusahakan ketika melakukan larian nanti."
Kali terakhir Azeem beraksi dalam acara 100m - di temasya Sukma lalu, Azeem merekodkan catatan 10.25s.
Untuk rekod, prestasi Azeem melonjak tinggi sejak berada di bawah asuhan legenda olahraga dunia, Ken Harnden dan tidak mustahil, untuk pelari berusia 18 tahun itu untuk memperbaharui rekod 100m miliknya pada kejohanan NFU bermula esok.
"Walaupun saya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 60m, ia masih lagi dianggap sebagai perkara bukan luar biasa dan saya mahu berusaha untuk memperbaiki kualiti larian dalam saingan akan datang."