Azeem bangga dalam kecewa
Bernama
Jun 15, 2024 00:08 MYT
Jun 15, 2024 00:08 MYT
KUANTAN: Pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi agak kecewa kerana gagal memperbaiki rekod acara 100 meter (m) miliknya walaupun muncul juara dengan catatan 10.43 saat (s) pada final Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2024, di Stadium Darul Makmur di sini, malam ini.
Azeem berkata dia bagaimanapun gembira kerana mencapai sasaran untuk mengekalkan gelaran sebagai pelari pecut nombor satu negara dan dapat bersaing dengan pelari pecut terpantas di Malaysia.
"Saya akui masih belum berjaya menghasilkan catatan masa memberangsangkan sejak Sukan Asia tahun lepas, namun tujuan utama saya di sini adalah berseronok tanpa meletakkan sebarang tekanan dan menggembirakan seluruh peminat yang hadir.
"Terdapat beberapa halangan untuk saya melakukannya, mungkin disebabkan rintangan angin ketika berlari tadi dan tubuh saya juga belum pulih 100 peratus selepas melalui perjalanan jauh dari Amerika Syarikat ke sini," katanya kepada pemberita sejurus menamatkan acara larian itu.
Pada acara itu, atlet ATM Jonathan Nyepa menduduki tempat kedua dengan catatan 10.54s manakala tempat ketiga diraih Muhammad Efrain Feerzan Khan dari Pahang dengan masa 10.61s.
Atlet berusia 20 tahun dari Teluk Intan, Perak itu berkata selepas menyertai kejohanan ini, dia percaya dirinya berupaya untuk melakar sesuatu apabila tampil pada Terbuka Kazakhstan minggu hadapan.
"Saya menyimpan impian menjadi atlet pertama negara yang berjaya mencatat masa di bawah 10 saat, ia tidak mustahil dilakukan apabila saya membuat persiapan rapi termasuk mendapatkan rehat secukupnya.
"Saya juga masih muda dan amat berharap semua pihak memberikan masa dua atau tiga tahun lagi untuk saya berada di kemuncak prestasi," katanya.
Sebagai rekod, Azeem merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s dan catatan terbaiknya musim ini ialah 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lepas.
Sementara itu, bagi final 100m wanita, Zaidatul Husniah dari ATM dinobatkan johan dengan catatan masa 11.79s, diikuti atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Moha di kedudukan kedua (11.87s) dan di tempat ketiga, Azreen Nabila Alias dari Terengganu dengan catatan 12.21s.
Kejohanan tahunan selama tiga hari itu menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar seperti Australia dan Rusia.
-- BERNAMA