AYPG 2021: Tiada sasaran, hanya medan atlet cipta nama - MPM

Bernama
November 22, 2021 18:25 MYT
Menurut Mehat D Shahriman, AYPG 2021 disifatkan sebagai platform untuk membantu para atlet negara untuk mencatat rekod serta mata kelayakan diperlukan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak meletakkan sasaran tinggi sebaliknya mahu atlet muda negara mengambil peluang untuk mencipta nama di persada antarabangsa, pada Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Manama, Bahrain, 2 hingga 6 Dis ini.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya mahu menjadikan AYPG 2021 sebagai platform, membantu para atlet negara untuk mencatat rekod serta mata kelayakan diperlukan, bagi memudahkan mereka menyertai mana-mana kejohanan dunia selepas ini.
"Terdapat beberapa atlet yang bagus tapi tak ada ranking, jadi kami nak bantu atlet yang menyertai kejohanan ini layak menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa, selepas menyertai AYPG kali ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Megat D Shahriman menyifatkan sekiranya atlet berjaya meraih sebarang pingat dalam AYPG 2021, ia merupakan satu bonus buat kontinjen negara biarpun tiada sasaran diletakkan kerana enggan membuat atlet berasa tertekan ketika beraksi di Bahrain.
Megat D Shahriman berkata pada masa sama, pihaknya ingin memastikan segala pelaburan yang dilakukan ke atas atlet muda untuk sesi latihan sepanjang pandemik COVID-19, dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam menghadapi saingan temasya sukan itu.
"Kami juga mahu segala duit yang telah dibelanjakan sama ada untuk jurulatih dan latihan diguna pakai baik, maknanya selama dua tahun tetap ada pulangan atas pelaburan walaupun dalam keadaan COVID-19, dan kita beri ruang untuk para atlet diberi pendedahan bertanding peringkat antarabangsa," tambahnya.
Di Bahrain, seramai 13 atlet negara akan mengambil bahagian dalam enam jenis sukan iaitu olahraga, badminton, boccia, renang, pingpong dan powerlifting.
Malaysia menyertai AYPG sejak edisi pertamanya di Tokyo pada 2009 dan menjadi tuan rumah pada edisi 2013.
-- BERNAMA
#Majlis Paralimpik Malaysia #Sukan Para Remaja Asia #AYPG #Megat D Shahriman
;