Awas dendam Sepanyol - Bonucci

Astro Arena
Oktober 5, 2016 12:04 MYT
BONUCCI: Kami akan berdepan dengan Sepanyol yang berbeza, berbanding yang kami hadapi di Euro. - AFP PHOTO / Fail
LEONARDO Bonucci berharap Itali akan menggunakan kemenangan dalam Euro 2016 ke atas Sepanyol sebagai lonjakan motivasi buat mereka untuk berdepan lawan yang sama dalam kelayakan Piala Dunia.
Anak buah Vicente del Bosque bertandang ke Perancis dengan harapan untuk melakar kejuaraan ketiga, namun disingkirkan Itali yang ketika itu dikendalikan Antonio Conte dalam pusingan 16 terakhir.
Kedua-dua pasukan itu telah pun menggunakan khidmat jurulatih berbeza, namun Bonucci mengakui mereka masih seronok memikirkan kemenangan 2-0 mereka.
"Apabila saya mengenangkan Paris, saya jadi teruja," katanya dalam sidang media.
"Memori itu melonjakkan semangat saya kerana kami menewaskan salah satu pasukan terkuat dunia sekalipun pada ketika itu mereka bukan di tahap terbaik secara fizikalnya.
"Saya berharap dapat berkongsi bersama rakan sepasukan lain kerana kebanyakan daripada mereka yang pernah berada di Paris pasti akan berasakan begitu.
"Jika begitu, ini bermakna kami akan turun dengan kesedaran, kerendahan hati dan kemahuan yang betul."
Bonucci, bagaimanapun, mengakui rombakan dalam pasukan akan memberi kelainan kali ini.
"Kami akan berdepan dengan Sepanyol yang berbeza, berbanding yang kami hadapi di Euro.
"Mereka akan lebih bermotivasi disebabkan jurulatih baru dan mereka akan mempunyai keadaan mental dan fizikal yang berbeza.
"Mereka pasti tidak sabar untuk menebus kekalahan di Euro. Tambahan pula, kami perlu melakukan sesuatu yang lebih daripada yang kami lakukan di Israel (menang 3-1) kerana kami akan menentang salah sebuah pasukan kebangsaan terbaik di dunia."
#Euro 2016 #Itali #Leonardo Bonucci #Piala Dunia #sepanyol
;