#AWANIEuropa: Sarri mengamuk dalam sesi latihan menjelang final
Astro Arena
Mei 29, 2019 13:43 MYT
Mei 29, 2019 13:43 MYT
MAURIZIO SARRI mengamuk dalam sesi latihan Chelsea menjelang final Liga Europa di Baku, Azerbaijan.
Pengandali kelahiran Itali itu dilihat menghempaskan topinya ke lantai dan menyepaknya sebanyak dua kali sebelum meluru masuk ke terowong di Stadium Olimpik Baku, di mana The Blues akan bertemu seteru London, Arsenal, awal pagi esok.
Tindakan Sarri itu merupakan respons ekoran pertelingkahan di antara David Luiz dan Gonzalo Higuain.
Kedua-dua pemain itu bertengkar selepas Higuain melakukan terjahan lewat ke atas pertahanan berkenaan ketika sesi latihan.
Walaupun ia bukanlah terjahan yang berbahaya, Luiz jelas kecewa dengan tindakan itu dan pengurus, Sarri, tidak dapat membendung perasaannya lagi.
Bagaimanapun, jurucakap Chelsea berkata: "Kekecewaan yang dipaparkan Maurizio ketika penghujung sesi latihan itu tidak berkaitan dengan mana-mana pemain, namun disebabkan dia tidak dapat meneruskan latihan pada 15 minit terakhir kerana latihan selama sejam itu kekal terbuka kepada pihak media."
Sarri, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus, terlebih dahulu meluahkan rasa sayangnya terhadap pasukan itu dalam sidang media sebelum perlawanan.
"Pada ketika ini, saya menyayangi mereka.
"Saya memiliki pemain yang hebat, jadi saya amat gembira bersama mereka," katanya.
Reaksi Sarri itu merupakan reaksi yang sama ditunjukkannya ketika final Piala EFL, Februari lalu.
Ia selepas pengendali berusia 60 tahun itu dilihat mengamuk dan meluru ke terowong di Stadium Wembley sebelum kembali ke tempat duduknya ekoran tindakan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, yang enggan digantikan.