#AWANIEuropa: Peluang Kante 50-50 untuk diturunkan, kata Sarri
Astro Arena
Mei 29, 2019 13:52 MYT
Mei 29, 2019 13:52 MYT
PEMAIN tengah Chelsea, N'Golo Kante, berdepan peluang 50-50 untuk mengatasi masalah di lututnya menjelang pertemuan dengan Arsenal dalam final Liga Europa, kata Maurizio Sarri.
Kante mengalami masalah itu ketika sesi latihan hujung minggu lalu dan dia masih tidak pasti sama ada dapat diturunkan dalam aksi final di Baku, awal pagi esok.
Pemain kebangsaan Perancis itu baru sahaja pulih daripada kecederaan paha yang memaksanya untuk tidak terlibat dengan perlawanan suku akhir kedua di mana pasukannnya menewaskan Eintracht Frankfurt selain turut terlepas aksi terakhir Liga Perdana Inggeris di Leicester City.
Kante merupakan pemain utama sejak Sarri mengambil alih pasukan itu dan telah melakukan 46 penampilan sebagai kesebelasan utama dalam kesemua kejohanan.
Pengendali kelahiran Itali itu mengakui ketiadaan Kante akan memberikan kesan besar terhadap pasukannya.
"Dia mengalami sedikit masalah di lututnya," kata Sarri dalam sidang media sebelum perlawanan.
"Ia 50-50. Semalam 60-40 tetapi kini 50-50. Dia sudah semakin baik pagi ini.
"Ia tidaklah terlalu serius, namun masalahnya adalah waktu.
"Buat masa ini, kami masih tidak tahu. Kami akan mencubanya sehingga saat-saat akhir.
"Saya berharap dapat memulihkannya kerana saya tahu betapa ia akan memberikan masalah buat kami," katanya.
Chelsea telahpun kehilangan seorang lagi pemain tengah utama, Ruben Loftus-Cheek, yang mengalami kecederaan pada tendon Achilles ketika aksi persahabatan di Amerika Syarikat.
Callum Hudson-Odoi turut mengalami kecederaan yang sama bulan lalu dan ia meletakkan pemain yang sedang berada dalam perhatian Real Madrid, Eden Hazard, untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar di bahagian serangan dalam aksi yang mungkin menjadi penampilan terakhirnya buat kelab itu.
Sarri memuji kemampuan Hazard, namun mengakui faktor motivasi menjadi cabaran paling berat buat pemain itu di Stamford Bridge.
"Ia merupakan satu kesenangan untuk memilikinya ketika perlawanan.
"Adakalanya terdapat masalah dalam minggu itu.
"Buat masa ini, dia merupakan pemain paling penting di dunia.
"Saya rasa dia boleh menjadi pemain terbaik di Eropah dan dunia.
"Masalahnya adalah ketika latihan. Ia boleh menjadi amat membosankan kerana baginya, semua perkara-perkara itu sangat mudah," tambahnya.
#awanieuropa
#Callum Hudson-Odoi
#Chelsea
#Eden Hazard
#Eintracht Frankfurt
#Liga Europa
#Maurizio Sarri
#N'Golo Kante
#Ruben Loftus-Cheek