#AWANIEuropa: Cech atau Leno? Emery belum ada pilihan
Astro Arena
Mei 29, 2019 14:00 MYT
Mei 29, 2019 14:00 MYT
PENGURUS Arsenal, Unai Emery, memuji penjaga golnya yang akan bersara, Petr Cech, walaupun dia enggan memberi jaminan bahawa penjaga gol itu akan bermula sebagai kesebelasan utama ketika menentang Chelsea dalam final Liga Europa di Baku, awal pagi Khamis.
Cech akan menamatkan karier sebagai pemain selepas aksi berdepan bekas kelabnya itu dengan terdapat laporan mendakwa dia akan kembali ke Stamford Bridge untuk menjadi Pengarah Sukan The Blues.
Bekas pemain kebangsaan Republik Czech itu telah beraksi dalam kesemua kejohanan kalah mati sepanjang tahun ini, namun Emery perlu membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan pendekatan itu atau menggunakan penjaga gol utama pasukannya, Bernd Leno.
"Perkara paling penting buat kami adalah memenangi kejuaraan," katanya dalam sidang media.
"Setiap kejuaraan amat penting buat Arsenal dan juga Chelsea sama ada di England mahupun di Eropah.
"Kami mahu menikmati saat-saat ini.
"Tentang kesebelasan utama, saya akan memaklumkannya kepada pemain terlebih dahulu.
"Saya boleh bercakap banyak perkara tentang Cech, namun yang paling utama adalah dia seorang individu yang baik, seorang profesional yang baik, kariernya amat luar biasa sama ada dengan pasukan lain atau dengan kami.
"Ia akan menjadi perlawanan terakhirnya kerana dia memilih untuk menamatkan karier.
"Saya mahu melakukan sesuatu yang penting dengannya pada waktu terakhir kariernya sama ada dia beraksi ataupun tidak.
"Saya menghormatinya. Dia amat luar biasa, terutama sebagai individu dan penjaga gol.
"Dia layak untuk mendapat kepercayaan.
"Kariernya telah membuktikan bahawa dia lelaki budiman.
"Dia mungkin dalam kesebelasan utama atau mungkin juga tidak.
"Saya akan menentukannya. Tidak mungkin kami tidak mempercayainya," katanya.
Satu-satunya pemain yang tidak dapat digunakan Emery ialah Henrikh Mkhitaryan, yang tidak menyertai kunjungan ke Baku itu kerana kebimbangan mengenai keselamatannya ekoran ketegangan politik di antara Armenia dan Azerbaijan.
Keputusan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk mengadakan perlawanan akhir itu di Baku mengundang kritikan dan rakan sepasukan Mkhitaryan, Granit Xhaka, menganggap seluruh skuad Arsenal kecewa dengan keputusan itu.
"Sudah pasti kami kecewa kerana dia tidak berada di sini.
"Kita banyak berkata tentang Mkhi dan politik, sudah tiba masanya untuk bercakap tentang bola sepak.
"Dia amat penting di atas dan di luar padang dan kami mahu memberikan trofi itu kepadanya.
"Kelab seperti Arsenal sepatutnya berada dalam Liga Juara-Juara Eropah.
"Kami mahu mengembalikannya kepada penyokong.
"Ia perlawanan yang besar. Ia perlawanan akhir.
"Kami boleh memenangi trofi itu dan kembali menyertai Liga Juara-Juara," katanya.
#Arsenal
#awanieuropa
#Baku
#Bernd Leno
#Chelsea
#Granit Xhaka
#Henrikh Mkhitaryan
#Petr Cech
#Republik Czech
#Stamford Bridge
#UEFA
#Unai Emery