Awang import Kemboja, Montenegro jadi pilihan Irfan
Astro Arena
Disember 1, 2017 16:54 MYT
Disember 1, 2017 16:54 MYT
DUA pemain import, Igor Zonjic dari Montenegro serta Thierry Chantha Bin, dari Kemboja disahkan menyertai Terengganu FC (TFC) I menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.
Kehadiran mereka sekaligus melengkapkan senarai lima awang import TFC I selepas mendapatkan khidmat Lee Andrew Tuck dan Kim Hyeon Woo selain mengekalkan penyerang sensasi, Kipre Tchetche.
Menurut pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim, slot pemain Asia Tenggara akan diisi tonggak tengah, Thierry Bin, 26 -– pemain kelahiran Perancis yang mendapat kerakyatan Kemboja.
Zonjic, 26, pula ujar Irfan, bakal menggantikan tempat Lazaro Vinicious di bahagian pertahanan sebagai antara muka baharu skuad bimbingannya yang akan memberi cabaran dalam Liga Super.
“Sekarang kami telah memiliki barisan pemain yang lengkap untuk menggalas tugas penting bersama Terengganu.
“Hanya (Andrew) Tuck akan menyertai latihan pertama pra-musim pada 4 Disember. Baki pemain-pemain import lain dijangka hanya akan tiba pertengahan Disember ini,” katanya.
Sementara itu, Irfan turut memperkemaskan barisan kejurulatihannya dengan kepulangan bekas pembantunya di Felda United, Mohamad Nik, ke Kuala Terengganu.