Australia takluk Piala Sultan Azlan Shah buat kali ke-9

Astro Arena
April 16, 2016 07:36 MYT
Australia bukan hanya bergelar juara, malah turut mengekalkan rekod 100 peratus sepanjang kejohanan kali ini.

AUSTRALIA berjaya menebus duka tahun lalu apabila membelasah India 4-0 untuk menjulang kejuaraan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 malam tadi.

Pertembungan berlangsung cukup menarik di antara naib juara tahun lalu, Australia, menentang India tatkala juara bertahan, New Zealand, sekadar berakhir di tangga ketiga edisi kali ini.

Juara dunia, Australia, ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai sejak awal.

Namun, laluan buat mereka bukan mudah apabila India yang kembali dipacu penyerang, Harmanpreet Singh, memberi tentangan sengit untuk suku pertama berakhir tanpa jaringan.

Suku kedua menyaksikan Australia bangkit menerusi Craig Thomas yang memecah kebuntuan pada minit ke-25, sebelum Thomas sekali lagi menerjah gawang pada separuh masa pertama untuk pendahuluan 2-0.

Tidak terkesan dengan percubaan berterusan India, The Kookaburras terus garang meraih kelebihan, kali ini melalui Matt Ghodes dalam suku ketiga.

Malah, hujan langsung tidak menghalang Australia untuk meledak gol keempat, juga melalui Ghodes pada minit ke-57.

Pada penghujungnya, Australia bukan hanya bergelar juara, malah turut mengekalkan rekod 100 peratus sepanjang kejohanan kali ini.

#Australia #hoki #India #Sultan Azlan Shah
;