Australia rampas impian UAE ke Piala Dunia Qatar
Astro Arena
Jun 8, 2022 10:30 MYT
Jun 8, 2022 10:30 MYT
UAE 1 AUSTRALIA 2
Jaringan lewat Ajdin Hrustic untuk kemenangan 2-1 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencerahkan peluang Australia mara ke Piala Dunia Qatar 2022.
Socceroos gagal mengatur sebarang percubaan tepat dalam separuh masa pertama perlawanan pusingan keempat kelayakan Piala Dunia itu di Stadium Al-Rayyan, awal pagi tadi, dan mereka terhutang budi kepada Mat Ryan kerana dua kali menafikan percubaan Harib Abdalla Suhail.
Australia mula mengorak langkah selepas rehat dan berada di depan apabila hantaran lintang Jackson Irvine disudahkan Martin Boyle dari jarak dekat ketika permainan mencecah usia 53 minit.
UAE tidak mengambil masa lama apabila menyamakan kedudukan empat minit kemudian yang menyaksikan Caio Canedo merobek gawang menerusi kaki kirinya dari jarak enam ela selepas hantaran silang Suhail mencetuskan kekalutan di benteng pertahanan Socceroos.
Craig Goodwin terlepas peluang menarik untuk meletakkan skuad kendalian Graham Arnold itu kembali menerajui permainan tetapi detik penentu perlawanan berkenaan tercetus enam minit menuju masa kecederaan.
Rembatan kencing Hrustic terkena Ali Salmeen dan secara tidak langsung membuatkan penjaga gol, Khalid Eisa, mati langkah sekali gus melanjutkan lagi kemarau UAE untuk penampilan pertama Piala Dunia sejak 1990.
Australia akan menentang Peru dalam perlawanan penentuan di antara benua itu di venue yang sama Isnin depan, dengan pemenangnya akan mengesahkan tempat ke pusingan akhir di Qatar, hujung tahun ini.