Aura Garrido, Shukor beri Harimau Muda semangat baharu

Astro Arena
Disember 28, 2023 18:00 MYT
Garrido (kiri) dan Shukor memberikan kelainan kepada persembahan skuad Harimau Muda. - Foto FB FAM
IMPAK pengendali baharu skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido dan pembantu jurulatih, Shukor Adan nyata memberikan kelainan kepada persembahan skuad Harimau Muda.
Perkara itu diakui oleh pertahanan B-23 negara, Harith Haiqal Adam Afkar yang menyifatkan dia serta rakan sepasukan yang lain lebih serasi dengan taktikal baharu selain corak permainan banyak berubah di bawah kendalian kedua-dua pengendali itu.
"Sejujurnya saya sangat berpuas hati sebab kalau kita nak bandingkan dengan sebelum kemasukan coach Juan dan coach Shukor, saya rasa corak permainan banyak berubah.
"Rasa lebih selesa dan serasi selain faham taktikal yang mahu diterapkan oleh coach Juan," katanya.
Skuad Harimau Muda baru sahaja mengakhiri dua aksi persahabatan tier 2 menentang pasukan B-23 China di Shanghai.
Pasukan negara tampil dengan permainan meyakinkan apabila menang 1-0 dalam pertemuan pertama sebelum tewas tipis 1-2 dalam perlawanan kedua.
Dalam pada itu, pemain Selangor FC itu juga mengakui beberapa kelemahan turut perlu ditambah baik terutama di bahagian pertahanan yang agak goyah.
"Persembahan saya agak goyah termasuk beberapa pemain lain di bahagian pertahanan. Kalau kita dapat perbaiki sedikit di bahagian pertahanan, pasukan akan jadi lebih baik pada masa depan," katanya.
Sebagai rekod, dua aksi persahabatan berdepan skuad muda China itu sebagai persiapan pasukan negara bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.
Dalam saingan tersebut, skuad B-23 diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#skuad Bawah 23 tahun #b-23 #Juan Torres Garrido #Shukor Adan n #harimau muda #jurulatih
;