AUG 2024: Tari Topeng Kaliwungu curi tumpuan di kolam renang

Bernama
Julai 2, 2024 11:45 MYT
Tarian berkenaan berasal daripada masyarakat Madura yang berpindah ke Kabupaten Lumajang pada tahun 1940. - Gambar hiasan/X/@KangSirmadji
SURABAYA: 'Tari Topeng Kaliwungu' yang memukau penonton, dipersembahkan sepanjang enam hari acara renang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di sini, menandakan keramahan masyarakat tempatan dan sebagai simbolik ucapan selamat datang.
Lenggok penarinya yang gemalai namun tangkas, diiringi alunan muzik mengasyikkan, menjadikan tarian tradisional masyarakat Jawa Timur berasal dari Kabupaten Lumajang itu sebagai pilihan penganjur, sekali gus sebagai lambang atau 'trademark' bagi menunjukkan temasya itu dianjurkan di bumi Indonesia yang penuh tradisi.
Bermula dengan langkah 'jalan masuk' diikuti gerak 'cakilan', para penari yang mengenakan busana tradisional, diiringi alunan muzik 'Bantengan Lintang Asmoro' berjaya mencuri tumpuan para atlet dan penonton setiap kali dipersembahkan ketika upacara penyampaian pingat.
Penari, Edi Prasuko Samsuri, 58, memberitahu Bernama tarian berkenaan berasal daripada masyarakat Madura yang berpindah ke Kabupaten Lumajang pada tahun 1940.
"Topeng (tarian) ini ada gerakannya tersendiri, topengnya penuh dengan senyum menandakan keramahan kepada orang ramai, baju merah melambangkan keberanian, selendang putih di pakaian mengajak orang buat baik, pakaian ini melambangkan "Ariawiraraja" iaitu raja pertama di Lumajang.
"Topeng memiliki gerakan yang khas yang di sebut 'cakilan' yang dilihat sangat tegas dengan tangan dan kepala yang patah-patah. Biasanya kalau wanita mengenakan busana tradisional berwarna putih dan lelaki tidak berbaju," katanya.
Edi yang mempelajari Tari Topeng Kaliwungu itu sejak kecil berkata kebiasaannya masyarakat di daerah Lumajang akan mempersembahkan tarian unik itu untuk menyambut tetamu atau pada majlis-majlis keraian dan perkahwinan.
"Ini adalah tarian selamat datang atau majlis perkahwinan, kebiasaan kami akan menyalakan lampu-lampu semasa ia (tarian) dijalankan. Di daerah Lumajang, tarian ini sudah disarankan di semua sekolah agar setiap pelajar mempelajarinya supaya ia tidak hilang dimakan zaman," katanya.
Dalam pada itu, skuad renang negara melepasi sasaran tujuh emas dengan membawa pulang keseluruhan sembilan emas, tujuh perak dan 16 pingat gangsa pada kempen AUG kali ini.
-- BERNAMA
#AUG 2024 #Tari Topeng Kaliwungu #tarian tradisional #Madura
;