AUG 2024: Malaysia raih dua emas dari kem renang, bola baling
Bernama
Jun 30, 2024 05:15 MYT
Jun 30, 2024 05:15 MYT
SURABAYA: Malaysia meraih dua pingat emas menerusi skuad renang dan bola baling lelaki pada hari kelima temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di sini pada Ahad.
Pingat emas itu hadir menerusi Low Zheng Yong yang menampilkan renangan bertenaga dalam acara 1,500 meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan masa 16 minit 40:87 saat (s).
Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik wakil Vietnam Trupng Viet Vu (16:51.61s) dan Lew Zheng Wye (17:00.03s).
Bola baling turut menyambar kilauan pingat emas selepas menewaskan Singapura 28-26 pada perlawanan sengit peringkat akhir yang berlangsung di Universitas Teknik 10 Nopember di sini.
Lebih manis skuad bimbingan Muhammad Khairul Hafidzin itu mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama dalam acara bola baling yang pertama diperkenalkan pada edisi 2024 di Surabaya-Malang.
Malaysia turut meraih satu pingat perak menerusi skuad futsal negara yang dikecewakan Indonesia 1-4 di aksi final di Gelora Olahraga Rakyat (GOR) Futsal Universitas Negeri Surabaya (UNESA).
Kem renang pada masa sama turut menyumbang dua pingat gangsa menerusi Terrence Ng Shin Jian dalam acara 100m gaya bebeas lelaki dengan catatan masa 51.72s selain skuad renang acara 4x100m rampaian wanita yang dibarisi Christy Teh Xing Ti, Lee Yen Yi, Ho Keesha dan Ng Zi Syuen dengan catatan masa 4:44.4s.
Bagi hari keenam temasya sukan dwitahunan itu hari ini, kontinjen negara akan tertumpu kepada renang yang diharap menjadi lubuk pingat emas selain petanque yang akan beraksi dalam perlawanan penentuan pingat gangsa bertemu tuan rumah hari ini.
Kem badminton pula bakal dibarisi tujuh wakil negara untuk berentap dalam pusingan separuh akhir.
Malaysia kekal di tangga ketiga dengan keseluruhan 13 pingat emas 15 perak dan 22 gangsa di belakang Thailand dan Indonesia.
-- BERNAMA