AUG 2024: Kem olahraga capai sasaran 10 pingat emas

Bernama
Julai 4, 2024 05:30 MYT
Muhammad Azeem mengungguli acara 200m dengan catatan masa 21.15s meninggalkan pelari tuan rumah Muhamad Ramdan Fitadi (21.43s) dan pencabar Thailand Ruamchok Semathong (21.80s). - Facebook Sukan IPT
MALANG (Indonesia): Kem olahraga terus menyinar dengan menambah empat pingat emas di hari kesembilan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Lapangan Atletik Universitas Negeri Surabaya (UNESA) menyaksikan Muhammad Azeem Mohd Fahmi sekali lagi cemerlang mengungguli acara 200 meter (m) dengan catatan masa 21.15 saat (s) meninggalkan pelari tuan rumah Muhamad Ramdan Fitadi (21.43s) dan pencabar Thailand Ruamchok Semathong (21.80s).
Kecemerlangan itu diteruskan atlet tukul besi Sadat Marzuki Ajisan yang menyambar pingat emas selepas melakukan balingan sejauh 59.18 m menewaskan pencabar tuan rumah Putera Rafika 47.48 m dan atlet Filipina John Laur Ballelos 45.75 m.
Acara 800 m lelaki turut membutirkan satu pingat emas menerusi Wan Muhamad Fazri Wan Zahri yang menamatkan larian dengan catatan masa 1:51.28 s di hadapan pelari Filipina David Paul Matibag (1:52.25 s) dan atlet Timor Leste Manuel Belo Amaral (1:53.51 s).
Emas keempat olahraga muncul menerusi acara lompat tinggi lelaki selepas Muhammad Aiman Syazwan Abdullah melakukan catatan 2.10 m menewaskan rakan senegara Farrel Felix Jurus (2.05 m) yang meraih perak dan atlet tuan rumah Rafael memperoleh gangsa (2.05 m).
Dengan empat pingat emas ini, skuad olahraga mencapai sasaran 10 pingat emas selepas mengumpul empat pingat emas semalam dan dua pada Selasa.
-- BERNAMA
#AUG 2024 #pingat emas #olahraga #larian
;