Atur perlawanan bukan hanya masalah di Malaysia - Khairy

Astro Arena
November 9, 2016 20:32 MYT
KHAIRY: Andai situasi itu masih terjadi di negara ini, pihak yang berkaitan sudah pasti akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk membanteras gejala tersebut.
"MALAYSIA bukan pusat tumpuan untuk 'bookie' mengatur perlawanan, sebaliknya ia merupakan masalah serantau yang perlu diatasi secara menyeluruh," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Jelas Khairy, tidak adil hanya menuding jari ke arah Malaysia semata-mata sedangkan gejala berkenaan menular luas di rantau Asia Tenggara.
Reaksi Khairy itu merujuk kepada kenyataan Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton, yang mendakwa Malaysia kini sebagai pusat utama aktviti mengatur perlawanan menggantikan Singapura.
Tambah Khairy, andai situasi itu masih terjadi di negara ini, pihak yang berkaitan sudah pasti akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk membanteras gejala tersebut.
"Kami perlu mengkaji tentang asas dalam kenyataan yang dikeluarkan olehnya (Eaton). Jika dapat memberikan maklumat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak kementerian dan juga kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kami boleh bertindak.
"Sejak tiga atau empat tahun lepas, kami telah menjalankan usaha untuk mengurangkan gejala mengatur perlawanan."
Khairy berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Deepavali Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang dianjurkan oleh timbalan menterinya, Datuk M. Saravanan, hari ini.
Antara individu sukan yang hadir termasuklah jurulatih olahraga para negara, R. Jegananthan, serta juara Liga FAM, pasukan MISC-MIFA.
#atur perlawanan #berita bola sepak #Khairy Jamaluddin #masalah serantau
;