Atlet Wilayah Persekutuan sumbang pingat Sukma terima insentif

Bernama
Julai 31, 2013 00:00 MYT
Sebanyak RM456,400 diperuntuk oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi pemberian insentif kepada 196 atlet, lapan pengurus dan 13 jurulatih kontinjen itu yang menyumbang pingat semasa kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 baru-baru ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pemenang pingat emas acara individu menerima RM5,000 dan RM4,000 bagi acara berpasukan.
"Setiap atlet yang menyumbangkan pingat perak akan menerima insentif RM1,500 bagi individu dan RM1,000 bagi berpasukan manakala insentif sebanyak RM1,000 bagi individu dan RM800 berpasukan untuk atlet yang menyumbang pingat gangsa," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian insentif itu serta majlis berbuka puasa bersama persatuan sukan Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.
Beliau berkata insentif berjumlah RM22,000 turut diberi kepada pengurus serta jurulatih pasukan yang berjaya mencapai sasaran pingat emas pada kejohanan itu.
Tengku Adnan berkata pencapaian kontinjen itu menduduki tempat ketiga berbanding kelima pada Sukma ke-15 di Pahang 2012 cukup membanggakan kerana beliau percaya peningkatan itu banyak dibantu prestasi yang memberangsangkan dalam beberapa acara seperti lawan pedang, muay thai dan woodball.
"Sesungguhnya kejayaan ini menunjukkan Wilayah Persekutuan, yang terdiri dari tiga kawasan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mempunyai ramai atlet berbakat besar, hanya bagaimana kita membentuk mereka," katanya.
Tengku Adnan juga berharap penyertaan kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma di Perlis tahun depan akan meraih kedudukan lebih baik.
Pada Sukma ke-16 Kuala Lumpur yang berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai lepas, kontinjen Wilayah Persekutuan menduduki tempat ketiga apabila menggondol 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa menerusi 20 acara yang dipertanding.
#Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor #kontinjen Wilyah Persekutuan #SUKMA