Atlet wanita terus berada di puncak kecemerlangan di sebalik pelbagai cabaran
Bernama
Mac 8, 2023 19:50 MYT
Mac 8, 2023 19:50 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa tahun kebelakangan ini, prestasi atlet wanita negara semakin menyerlah baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, sehinggakan tiada pihak mampu menafikan kebangkitan golongan itu dalam meraih pelbagai kejayaan.
Antara figura yang wajar dicontohi ialah atlet duathlon negara Tahira Najmunissa Muhammad Zaid yang tidak menjadikan kesibukan menguruskan keluarga dan membesarkan empat anak berusia lima hingga 13 tahun sebagai halangan untuk terus bergiat aktif dalam sukan itu.
Wanita yang digelar 'wanita besi' itu bahkan sentiasa mencari titik keseimbangan antara keluarga dan kerjaya supaya mampu memberikan yang terbaik dalam apa jua yang dilakukannya.
"Setiap hari adalah perjuangan yang sukar untuk saya kerana perlu bijak membahagikan masa dalam multitugas menguruskan kehidupan seharian. Namun, saya bersyukur apabila mempunyai keluarga yang sentiasa menjadi penyokong paling setia sepanjang menceburi bidang sukan lasak ini," katanya kepada Bernama.
Mengimbau kembali episod manis yang ditempuhnya, Tahira Najmunissa berkata kejayaan meraih tempat kedua, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) pada tahun lepas, meskipun anak bongsunya Sharifah Daniaa Abdul Rahman baharu sahaja menjalani pembedahan jantung berlubang seminggu sebelum itu.
Pemenang pingat perak duathlon wanita Sukan SEA 2022 yang tidak berada dalam keadaan terbaiknya ketika itu, tidak menyangka mampu menaiki podium apabila terpaksa berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) setiap hari dalam memastikan anaknya sentiasa berada dalam keadaan selesa dan selamat.
"Masa anak masuk IJN, saya memang tidak berhenti menangis kerana terlampau risau untuk pembedahan kali kedua, selepas dia (anak bongsu) menjalani pembedahan ketika berusia lapan bulan. Namun, saya mengambil semangat anak bongsu untuk kekal berjuang demi negara," katanya.
Sementara itu, atlet lompat bergalah wanita kebangsaan, Nor Sarah Adi lega kesusahan berulang-alik ke tempat latihan tanpa kenderaan sendiri yang terpaksa dilaluinya suatu masa dahulu akhirnya membuahkan hasil apabila mampu memastikan lagu Negaraku dan bendera Jalur Gemilang berkibar megah di pentas antarabangsa.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Vietnam merasakan keberadaan di ibu kota menjadikan dirinya lebih cekal untuk berdikari untuk terus berjuang demi negara, walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga yang menetap di Jengka, Pahang.
"Saya memang sudah menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) sejak 2018, namun ketika itu tidak menerima sebarang elaun atau penempatan. Oleh itu, saya terpaksa menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dari rumah ibu saudara di Puchong ke MSN, Bukit Jalil setiap hari.
"Namun, alhamdullilah saya diserap sepenuhnya ke program podium pada tahun lepas dan bersyukur saya melalui hari-hari yang sukar seperti itu kerana perkara seperti itu yang menguatkan diri saya ketika ini," katanya.
Nor Sarah berazam selagi mempunyai kudrat beliau mahu sentiasa menyumbang tenaga buat negara tercinta, walaupun menyimpan impian untuk bergelar wartawan yang kini telah menduduki semester enam dalam bidang komunikasi penyiaran di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Turut berkongsi perasaan sama, atlet memanah negara, Syaqiera Mashayikh yang menyatakan perasaan bangga apabila pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020, walaupun tidak berjaya membawa pulang pingat buat negara.
Atlet berusia 23 tahun yang kini menjalani latihan sepenuh masa di MSN, Nilai merasakan adalah impian setiap atlet di negara ini untuk beraksi di pentas dunia itu, dan bersyukur beliau sekurang-kurangnya pernah beraksi di kejohanan dunia itu.
"Saya berasa seronok dan berbangga apabila ramai atlet wanita yang semakin meningkat dan berharap lebih banyak atlet wanita yang mampu terus menyumbangkan bakat mereka buat negara," katanya.
-- BERNAMA