Atlet Sarawak raih emas SUKMA, Para SUKMA terima insentif RM15,000
Bernama
Ogos 16, 2024 20:31 MYT
Ogos 16, 2024 20:31 MYT
KUCHING: Sarawak menyediakan insentif RM15,000 kepada atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA kali ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut mengumumkan pemenang pingat perak akan menerima RM5,000 manakala gangsa (RM3,000).
"Pemberian insentif ini sebagai suntikan semangat kepada atlet agar menjadikan sukan sebagai karier... apabila mencapai tahap antarabangsa, mereka akan membawa nama Sarawak seperti Datuk Pandelela Rinong Pamg (terjun), Bonnie Bunyau dan lain-lain.
"Saya harap sasaran kontinjen negeri ini mendapat 70 pingat emas dapat dipenuhi, setakat ini Sarawak mendahului carta pungutan pingat (tujuh pingat emas, empat perak dan lima gangsa), saya harap momentum ini dapat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pingat kepada pemenang bagi acara taekwondo di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini.
Abang Johari berkata kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan secukupnya untuk insentif tersebut mengikut sasaran pingat ditetapkan.
Beliau turut berterima kasih atas penghargaan serta pujian daripada kontinjen negeri lain yang berpuas hati dengan penganjuran temasya dwitahunan kali ini dan berharap orang ramai dapat hadir pada acara pembukaan rasmi di Stadium Sarawak, esok.
SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan kesemua acara berlangsung di 50 venue pertandingan melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.
Lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei mengesahkan penyertaan pada temasya dwitahunan kebangsaan itu.
Sarawak menganjurkan SUKMA buat kali ketiga selepas 1990 dan 2016.
-- BERNAMA