Atlet Program Podium perlu gembleng usaha ke Olimpik Paris 2024 - Hannah

Bernama
Januari 14, 2024 00:09 MYT
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyampaikan ucapan pada Majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di sebuah hotel malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Atlet di bawah Program Podium perlu menjadikan pengumuman elaun bulanan yang ditukar kepada gaji oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai pembakar semangat untuk mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihaknya telah menunaikan hasrat atlet berhubung perkara tersebut dan justeru, sudah tiba masa mereka berusaha sehabis mungkin bagi melayakkan diri ke temasya sukan paling berprestij itu.
"Kita mahu atlet podium bukan sahaja badminton kerana mereka sekarang ini akan tandatangan untuk menerima gaji... jadi atlet kena lihat bahawa latihan sahaja tidak cukup kerana rakyat Malaysia mendoakan mereka serta mahu lihat hasilnya," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di sini.
Beliau berkata masa semakin suntuk dan hanya berbaki beberapa bulan untuk atlet terbabit ke Paris bagi menyertai acara yang akan berlangsung pada 27 Julai hingga 12 Ogos depan.
"Saya mahu mereka pastikan dapat layak dan ambil serius berhubung perkara ini. Bukan semua dapat peluang ini dan belum tentu ada peluang kedua buat mereka pada temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles," katanya.
Khamis lepas, KBS mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.
Ini bermakna sejumlah 307 atlet dan 86 atlet para di bawah program itu menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Pertubuhan Keselamatan Sosial.
-- BERNAMA
#atlet program podium #Sukan Olimpik Paris 2024 #KBS #Hannah Yeoh
;