Atlet perlu rujuk dengan ISN, kata Yuvaraj
Haresh Deol
Januari 19, 2013 20:15 MYT
Januari 19, 2013 20:15 MYT
Pelari negara P.Yuvaraj menyarankan atlet-atlet negara supaya sentiasa berurusan dengan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil sebarang bahan yang mungkin terlarang.
Yuvaraj, bersama rakan seperjuangan S.Kannathasan, Schzuan Ahmad Rosely dan Yunus La Salleh berjaya meraih pingat emas di Sukan Sea 2011 di Palembang.
Namun, Yunus disahkan positif mengambil bahan terlarang.
Sejak insiden tersebut, Yuvaraj sentiasa mengingatkan rakan-rakan atletnya supaya mendapat nasihat yang tepat terutamanya membabitkan ubat.
“Ianya mudah untuk menunding jari kepada atlet tetapi kita semua tahu apa yang terjadi kepada Yunus (bahawa dia diberi ‘vitamin’ oleh pegawai),” kata Yuvaraj.
“Tetapi sebagai atlet kita tidak boleh mengendahkan apa yang kita makan. Jika tidak pasti, rujuk kepada pihak ISN.”
Tambah Yuvaraj lagi, hanya kerana pelumba basikal Lance Armstrong mengakui bahawa beliau mengambil bahan terlarang, tidak bermaksud atlet-atlet lain juga mengambil dadah yang tidak dibenarkan.
“Kita mempunyai beberapa acara seperti Terbuka Perak dan Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan dan atlet-atlet sentiasa diuji.
“Jika masih terdapat atlet yang ingin mengambil bahan terlarang, ada pepatah yang berkata sepandai-pandainya tupai melompat, akhirnya jatuh ke tangan juga.”