Atlet perlu patuh surat aku janji - Presiden KOM
Bernama
Mac 15, 2022 18:50 MYT
Mac 15, 2022 18:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi peringatan kepada atlet di bawah naungan badan induk itu, supaya mematuhi surat aku janji yang ditandatangani mereka sebelum ini.
Presiden KOM Datuk SM Muthu menegaskan, sebarang ketidakpuasan hati dan permasalahan dengan badan induk olahraga negara itu, sepatutnya dibincangkan dan tidak seharusnya dibangkitkan menerusi saluran tidak sah.
"Sebagai contoh, KOM mengambil maklum berhubung permasalahan terjadi membabitkan jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa, yang melahirkan kekecewaan mendakwa terlepas peluang beraksi di kejohanan olahraga dunia.
"Perkara itu dikongsikan Nauraj di media sosial, namun perlu dijelaskan di sini sebenarnya permasalahan ini terjadi atas peraturan dan keputusan ditetapkan Persekutuan Olahraga Dunia (WA), sehingga menyebabkan KOM tidak dapat menghantar nama beliau berikutan beberapa perkara perlu dipenuhi," katanya kepada pemberita di Wisma OCM di sini hari ini.
Nauraj sebelum ini berkongsi kekecewaannya menerusi akaun Instagramnya, selepas tidak dapat menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2022 di Belgrade, Serbia dari 18 hingga 20 Mac ini.
Mengulas lanjut, Muthu berkata KOM pada 20 Jan lepas mendaftarkan nama Nauraj di bawah kategori 'Atlet Tidak Layak' untuk tujuan kelulusan WA, bagi menyertai kejohanan dunia tersebut.
Namun pada 21 Jan, WA menolak permohonan KOM dengan alasan acara lompat tinggi tidak diperuntukkan untuk kategori 'Atlet Tidak Layak'.
Bagaimanapun pada 9 Mac, WA sekali lagi menghantar emel menawarkan Nauraj tempat di kejohanan itu dan memerlukan jawapan persetujuan dalam tempoh 24 jam.
Beliau berkata perkara teknikal membabitkan urusan visa, pakaian pertandingan, permohonan kewangan serta protokol COVID-19 perlu diselesaikan dalam masa singkat, dan tidak dapat dipenuhi sementara keperluan jawapan segera kepada pihak WA adalah diperlukan.
Muthu berkata perkara tersebut sebenarnya telah dimaklumkan pengurus besar KOM kepada atlet berusia 30 tahun itu ,namun beliau bertindak berkongsikan kekecewaannya di media sosial.
Ditanya apa tindakan boleh dikenakan ke atas Nauraj, Muthu berkata atlet tersebut mungkin berdepan beberapa tindakan, namun perbincangan akan dijalankan terlebih dahulu.
"KOM sebelum itu akan meminta Nauraj untuk memberikan surat tunjuk sebab, berikutan tindakannya dan segala keputusan akan dibuat nanti," katanya.
-- BERNAMA