Atlet perlu berjiwa besar raih kejayaan di Paris - Hannah

Bernama
Mei 12, 2024 16:45 MYT
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyampaikan ucapan pada Program Aleps Ekiden Half Marathon 2024 di Taman Komuniti Putra Height, hari ini. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Komitmen wakil tunggal negara dalam acara perseorangan badminton lelaki Sukan Olimpik 2024 Paris, Lee Zi Jia yang meletakkan sasaran pingat emas di temasya sukan itu, perlu ada dalam jiwa setiap atlet negara lain yang layak.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata keazaman sedemikian, sememangnya diperlukan pada temasya itu yang akan membuka tirai bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
"Bagus kalau semua atlet yakin dengan kemampuan mereka dan itu yang kita nak, iaitu pergi ke sana dengan keyakinan yang tinggi.
"Biarpun dia (Zii Jia) tiada dalam program Road to Gold, semua atlet yang mewakili Malaysia ke Paris kita tetap bagi sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan program larian ALEPS Ekiden Half Marathon 2024, di sini, hari ini.
Hannah dalam masa sama mengingatkan supaya kesemua atlet yang telah layak, terus memastikan mereka bebas daripada segala kecederaan menjelang temasya tersebut.
Jumaat lepas, Zii Jia menyuarakan hasrat untuk menang pingat emas, sebaik sahaja Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan senarai akhir pemain yang sudah melayakkan diri untuk beraksi di Olimpik.
Pada penampilan di Olimpik Tokyo 2020, Zii Jia terkandas di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada pemain China Chen Long.
Zii Jia yang membuat penampilan kedua di temasya tersebut menerusi menerusi rakaman suara yang dimuat naik menerusi laman sosial Instagram Team LZJ, pada masa sama enggan penyertaannya itu dianggap sekadar pelengkap jadual.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #keazaman atlet #Hannah Yeoh #sasaran pingat emas #Lee Zi Jia
;