Atlet pelapis sukan berbasikal maut
Astro Awani
Jun 5, 2013 14:42 MYT
Jun 5, 2013 14:42 MYT
Seorang atlet pelapis sukan berbasikal maut manaka dua yang lain cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu.
Kejadian berlaku berhampiran jambatan Kampung Gemuruh, Jalan Kelantan-Kuala Terengganu kira kira jam 9.30 pagi tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammmad Syafiq Nimran Syahril berusia 15 tahun dari Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu.
Menurut Jurulatih Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, Allahyarham dipercayai cuba mengelak lubang lalu tercampak ke kanan jalan bersama beberapa yang lain.
Mangsa, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Padang Negara yang jatuh tidak sempat menyelamatkan diri kemudianya dilanggar sebuah lori dari arah bertentangan.
Manakala dua pelatih yang cedera adalah Ahmad Fikri Ahmad Faddli, 14 tahun dan Che Ku Mohd Nazmie Che Ku Romli, 19 tahun .
Mereka di rawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebagai pesakit luar.
Menurut Che Ku Mohd Nazmi, beliau bersama mangsa tercampak ke laluan sebelah.
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Zainal Abidin Husin berkata tragedi berkenaan perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Menurutnya, pengguna jalanraya perlu lebih peka terhadap aspek keselamatan apabila melihat atlet berbasikal menjalani latihan
Kemalangan maut membabitkan pelumba muda berlaku ketika sesi latihan membabitkan kira kira 40 atlet berbasikal .
Latihan merangkumi laluan sejauh 160 kilometer dari Kuala Terengganu ke Dungun, Terengganu.
Mereka adalah atlet pelapis negeri di bawah MSN dan Terengganu Cycling Team (TSG).
“Orang ramai perlu bertolak ansur selain penyediaan aspek keselamatan. Kami meminta supaya penunggang motosikal, pemandu kereta serta pemandu lori memperlahankan kenderaan masing masing,” kata Zainal Abidin.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Bujuk, Manir, Kuala Terengganu tengah hari tadi.