Atlet Paralimpik Malaysia luar biasa, kata PM Najib
Bernama
September 19, 2016 07:44 MYT
September 19, 2016 07:44 MYT
Kejayaan Malaysia meraih tiga pingat emas dan satu gangsa dalam temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil disifatkan sebagai kejayaan luar biasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata beliau percaya temasya ke-15 itu adalah temasya Sukan Paralimpik yang paling diikuti dan akan terus dikenang rakyat Malaysia berikutan prestasi cemerlang atlet negara.
"Daripada 163 negara dan lebih 4,000 atlet yang bertanding, kontinjen kita berjaya meraih tempat ke-36, dengan pungutan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa. Ini adalah kejayaan yang luar biasa, sebagaimana luar biasanya atlet kita yang bertanding.
"Tahniah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, emas acara 100m, Muhammad Ziyad Zolkefli, emas acara lontar peluru, Abdul Latif Romly, emas acara lompat jauh, dan Siti Noor Radiah Ismail, gangsa acara lompat jauh.
"Keempat-empat anda telah mengharumkan serta menjulang nama Malaysia di persada sukan antarabangsa, dan kami amat bangga," katanya dalam catatan terbaharu di laman www.najibrazak.com malam tadi.
Edisi ke-15 Sukan Paralimpik Rio yang bermula secara rasmi pada 7 Sept lepas melabuhkan tirainya pada Ahad.
Najib berkata kegigihan atlet-atlet lain yang tidak berjaya membawa pulang pingat juga tiada tandingannya.
"Meskipun tidak membuahkan pingat di sana, tahulah bahawa anda tetap wira dan wirawati rakyat Malaysia.
"Lebih daripada itu, anda semua telah membuka mata penggemar sukan di Malaysia dan serata dunia bahawa usaha dan semangat yang gigih tanpa kenal erti lelah melampaui batas fizikal yang mungkin ada," katanya.
Kata Perdana Menteri, kerajaan akan terus memberi segala bantuan dan sokongan yang diperlukan atlet paralimpik sama ada dalam bentuk kelengkapan, kewangan mahupun moral.
Beliau juga berharap usaha sedemikian dapat sama-sama dikongsi pihak swasta bagi membolehkan atlet negara terus berusaha menempa kejayaan.
Menyentuh aspek penghargaan, Najib berkata keringat dan usaha para atlet dalam apa jua acara dan peringkat adalah serupa.
Justeru, adalah wajar mereka semua diberikan insentif dan penghargaan yang sama.
"Sebab inilah juga mengapa Malaysia adalah antara segelintir kecil negara yang memberi penghargaan kejayaan sukan sama kepada atlet biasa dan atlet luar biasa. Ini akan kita tunaikan, insya-Allah," jelasnya.
Najib berkata beliau dan rakyat Malaysia telah lama yakin bahawa satu hari nanti Jalur Gemilang dikibarkan dan lagu kebangsaan dimainkan di pentas tertinggi sukan antarabangsa.
"Dan hari itu telah tiba, bukan sekali, bukan dua tetapi tiga kali Negaraku berkumandang di bumi Rio kali ini.
"Tahniah, terima kasih, dan teruskan usahamu atlet-atlet luar biasa!" katanya. - BERNAMA