Atlet Olimpik diingatkan tidak lalai selepas dilimpahi habuan

Astro Arena
September 4, 2016 22:51 MYT
Joo Ngan mengingatkan atlet negara bahawa masih banyak tugas perlu diselesaikan, terutama untuk baki kalendar musim ini. - Foto Facebook/Cycling Malaysia
LEGENDA lumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, mengingatkan atlet agar tidak lalai dengan habuan mewah susulan kejayaan meraih pingat Sukan Olimpik Rio 2016 kerana masih banyak tugas yang perlu diselesaikan tahun ini.
Lapan pemenang pingat Olimpik Rio ketika ini tidak henti-henti menerima ganjaran daripada kerajaan negeri dan pihak swasta.
Ia situasi yang positif untuk arena sukan negara.
Bagaimanapun, mereka perlu ingat bahawa masih banyak tugas perlu diselesaikan, terutama untuk baki kalendar musim ini.
"Zaman sekarang berbeza dengan dahulu. Sekarang ini terdapat banyak penglibatan wang dalam sukan kerana bukan mudah untuk membawa pulang pingat dari Sukan Olimpik atau Sukan Asia.
"Senario ini membuatkan ramai pihak yang mula berminat untuk terlibat dengan sukan, jauh berbeza berbanding dahulu," jelasnya.
Terbaru, ratu terjun negara, Pandelela Rinong, menerima habuan RM1.3 juta daripada kerajaan negeri Sarawak membabitkan wang tunai dan satu unit kondominium.
Rakan-rakan atlet seperti jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, pula menerima hampir RM2 juta, termasuk satu unit kondominium mewah di ibu kota.
#atlet negara #habuan #legenda lumba basikal #Ng Joo Ngan #Olimpik Rio #sukan negara
;