Atlet Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 membanggakan - PM
Astro Arena
Oktober 1, 2016 11:18 MYT
Oktober 1, 2016 11:18 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melihat pencapaian luar biasa atlet Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 sebagai satu kejayaan yang menjadi kebanggaan dan inspirasi buat setiap lapisan masyarakat di negara ini.
Berucap pada majlis meraikan wira-wirawati Olimpik dan Paralimpik Rio oleh UMNO, Datuk Seri Najib berharap kejayaan yang dilakar pada dua temasya itu menjadi inspirasi buat rakyat negara ini.
Tambah Datuk Seri Najib, setiap atlet sama peringkat Olimpik atau Paralimpik, mengharungi pelbagai rintangan dalam menaikkan nama negara di pentas dunia.
"Saya nak cerita mereka itu, dijadikan iktibar, ransangan dan inspirasi kepada kita semua. Bukan sahaja kepada ahli sukan, tetapi kualitinya, nilainya, pengorbananannya, dedikasinya, fokusnya dan komitmennya.
"Kalau mereka berjaya dalam bidang sukan, mereka juga boleh berjaya dalam bidang politik, ekonomi dan semua lapangan.
"Ini yang perlu kita lakukan," ujar beliau.
Pada majlis itu, pemenang pingat Paralimpik menerima ganjaran wang tunai sama seperti atlet Olimpik, pemenang menerima RM30,000, perak dengan RM20,000 dan gangsa menerima RM10,000.
Skuad Paralimpik negara menyumbang tiga emas dan satu gangsa di Rio, manakala kontinjen Olimpik negara, dengan empat perak dan satu gangsa.