Atlet olahraga digantung 'sangkut' doping - Adamas

Bernama
Jun 10, 2023 13:38 MYT
Atlet terbabit akan diberi peluang untuk mempertahankan diri dalam tempoh pendengaran kes berkenaan. - Gambar hiasan/ Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Arena sukan negara dicemari dengan satu lagi insiden doping, kali ini melibatkan seorang atlet olahraga semasa Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil pada Februari lepas.
Tanpa mendedahkan butiran atlet berkenaan, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) mengesahkan bahawa keputusan positif terhadap penggunaan bahan terlarang atau Adverse Analytical Finding (AAF) bagi bahan sibutramine.
"Pengesahan keputusan diterima dari Makmal Anti-Doping di Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel atlet olahraga berkenaan dengan penemuan bahan terlarang dalam sampel berkenaan, iaitu dalam kelas S.6 Stimulants - sibutramine," kata Adamas menerusi kenyataan.
Berikutan itu, atlet berkenaan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.
Adamas ketika dihubungi mengesahkan bahawa atlet berkenaan tidak beraksi pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, bulan lepas.
Sibutramine merupakan bahan tersenarai dalam senarai bahan yang dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh Agensi Anti-Doping Dunia.
Bahan itu lazimnya digunakan dalam kebanyakan produk mengurangkan berat badan dan pil pelangsing yang boleh didapati di pasaran dan ini bukan kes pertama melibatkan atlet Malaysia.
Sementara itu, Adamas berkata atlet terbabit akan diberi peluang untuk mempertahankan diri dan memberikan sebarang bukti untuk menyokong pembelaannya dalam tempoh pendengaran kes berkenaan.
Agensi itu juga berjanji bahawa keseluruhan proses akan dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan anti-doping yang ditetapkan berdasarkan kepada Adamas Anti-Doping Rules 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM).
"Prinsip kebertanggungjawaban mutlak adalah terpakai kepada atlet.
"Ini bermakna setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin dan/atau sampel darah mereka yang diambil semasa pengujian kawalan doping, tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang.
"Oleh itu, adalah penting bahawa atlet dan Kakitangan Sokongan Atlet mengetahui peraturan dan memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia," menurut Adamas.
-- BERNAMA
#ADAMAS #doping #atlet olahraga #Sukan SEA
;