Atlet negara sambut Aidilfitri secara sederhana di kem latihan
Bernama
Mei 13, 2021 04:10 MYT
Mei 13, 2021 04:10 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet negara yang terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga kerana menjalani kem latihan secara kuarantin, menyambut 1 Syawal secara sederhana pada Khamis.
Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atlet yang sedang membuat persiapan untuk Sukan Olimpik di Tokyo Julai ini dan Sukan SEA Hanoi pada November ini mula menjalani latihan secara kuarantin sejak minggu lepas.
Antara venue yang terlibat ialah di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi MSN, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilihat meluangkan masa bersama-sama atlet menunaikan solat sunat Aidilfitri dan meraikan sambutan Hari Raya di Cafe Atlet di MSN, Bukit Jalil dengan menikmati juadah seperti lemang, ketupat dan rendang.
"Kepada semua warga sukan negara, marilah kita bersatu, berjuang dalam memerangi pandemik ini demi Malaysia tercinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita," kata Shapawi dalam video ucapan rayanya.
Sementara itu, ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi turut berkongsi ucapan salam lebaran bersama gambar di media sosialnya.
"Kepada semua yang sempat bersama keluarga, syukur dan hargailah masa instimewa ini dan kami bersama anda yang tidak dapat berbuat demikian. Saya harap kita bersama-sama boleh mengharungi masa yang sukar ini, " katanya yang mengikuti kem latihan bagi menghadapi Sukam Olimpik Tokyo.
Lagenda badminton negara yang juga Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Tokyo Datuk Lee Chong Wei turut menyampaikan ucapan Aidilfitri serta berkongsi kisah sedih pembantu rumahnya yang tidak dapat menyambut hari lebaran bersama keluarga di Indonesia untuk tahun kedua berturut-turut.
"Hari yang mulia ini, Chong Wei, Wong Mew Choo sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya. Walaupun tidak senang, tapi kita cuba bersyukur dengan apa yang ada di depan mata.
"Kami berdoa raya tahun depan, COVID-19 telah pun ditumpaskan. Kami berdoa tahun depan, datuk-datuk nenek-nenek boleh berpeluk ketat anak cucu. Berjuadah makanan raya bersama. Bermain mercun bersama. Bergaul mesra bersama. Kami berdoa. Tak lama lagi, bersama lah semua.
"Saya sudahi dengan ungkapan seperti tahun-tahun lepas. Mohon maaf ya. Seperti badminton dimulakan, kosong-kosong. Luv-all," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Seramai 273 atlet menjalani latihan pusat di Bukit Jalil sebagai menghadapi persiapan Sukan Olimpik dan Sukan SEA Hanoi di Laos.
-- BERNAMA
#Hari Raya Aidilfitri
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#Majlis Sukan Negara
#Ahmad Shapawi Ismail
#Lee Chong Wei
#Wong Mew Choo
#latihan
#kuarantin
#Sukan Olimpik
#Sukan SEA
#Tokyo
#Bukit Jalil
#Hanoi
#Syawal 2021
#Hari Raya Aidilfitri 2021
#Lebaran AWANI