Atlet negara cipta nama dalam saingan profesional Muay Thai di Thailand

Bernama
Januari 30, 2017 15:19 MYT
Kehebatan sukan Muay Thai telah menarik minat penyertaan atlet dari pelbagai negara termasuk dari Malaysia. - Gambar hiasan/Reuters
Di Thailand, sukan mempertahankan diri Muay Thai bukan sahaja amat popular dalam kalangan rakyatnya, tetapi turut menjanjikan kemewahan dan populariti kepada mereka yang berjaya dalam sukan itu.
Sejak dua tahun lepas, menerusi syarikat pengurusan Hallo Fight Lab, beberapa atlet Muay Thai negara mula mencipta nama dalam saingan profesional sukan berkenaan yang amat sengit di negara kelahiran sukan mempertahankan diri itu.
"Dengan latihan dan pengurusan yang betul, atlet-atlet Muay Thai negara mula mencipta nama dalam saingan profesional sukan itu di Thailand.
"Mereka juga mendapat perhatian daripada promoter-promoter utama sukan itu," kata pemilik syarikat pengurusan tersebut, Mohd Hazrul Mohd Sapri kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya kemampuan atlet Muay Thai di bawah pengurusan syarikatnya telah mendapat pengiktirafan daripada promoter di Thailand, yang kini berlumba-lumba untuk menganjurkan perlawanan membabitkan atlet Malaysia.
Mohd Hazrul berkata bukan sahaja promoter terbabit menganjurkan pertandingan melibatkan atlet Muay Thai Malaysia di bawah pengurusan Hallo Fight Lab, tetapi turut menyediakan kemudahan latihan yang lengkap dan bersistematik.
Baru-baru ini, kata Mohd Hazrul, atlet kendaliannya menyertai pertandingan dinamakan 'PPTV Muay Thai Fight Night' yang dianjurkan antara promoter utama sukan itu di Thailand, 'One' Songchai.
Pertandingan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen PPTV itu katanya, telah ditonton kira-kira 30 juta peminat di negara tersebut yang meningkatkan nama atlet kendaliannya.
Pada Feb ini katanya, atlet Muay Thai kendaliannya akan menyertai pertandingan 'Ambassador Fight Night', di bawah satu lagi promoter utama sukan itu di Thailand.
"Bermula dari 3,000 Baht (kira-kira RM380) bagi satu perlawanan, kini atlet-atlet kendalian saya menerima kira-kira 30,000 Baht (RM3,800) bagi satu perlawanan dan jika prestasi baik, nilainya akan naik," kata Mohd Hazrul.
Disebabkan pengiktirafan promoter Muay Thai di Thailand terhadap kemampuan atlet negara, kalender perlawanan bakal disertai mereka setiap bulan adalah penuh dengan pelbagai undangan, kata Mohd Hazrul.
Beliau bercita-cita membawa atlet Muay Thai negara setanding dengan atlet sukan tersebut dari luar negara yang berjaya mencipta nama dalam sukan mempertahankan diri tradisional Thailand itu.
"Di Thailand, atlet Muay Thai luar negara yang berjaya dan terkenal seperti Antoine Pinto dan Rafi Bohic, menerima bayaran yang lumayan bagi setiap perlawanan disertai mereka, selain diberikan layanan lain," katanya.
Beliau diberitahu kedua-dua atlet Muay Thai berasal dari Perancis itu menerima bayaran minimum 600,000 Baht (kira-kira RM77,100) bagi setiap perlawanan disertai mereka," katanya.
"Jika atlet Muay Thai mencapai taraf superstar seperti 'Buakaw', maka bayarannya adalah berlipat-ganda sehingga jutaan Baht bagi satu perlawanan, selain memenuhi undangan perlawanan dari seluruh dunia," kata Mohd Hazrul.
Seorang atlet Muay Thai di bawah kendaliannya, Azman Che Wil, 21, Manek Urai, Kelantan berkata, adalah menjadi impiannya selama ini untuk beraksi dalam saingan profesional di Thailand.
Mohd Azizi Shamsuddin, 17, yang turut bernaung di bawah Hallo Fight Lab berkata, keluarganya di Kelantan merestui pengorbanannya yang menyaksikan beliau menghabiskan sebahagian besar daripada kariernya di negara Gajah Putih itu.
Kedua-dua mereka kini terlibat dalam kem latihan oleh promoter, yang membabitkan dua sesi latihan dalam sehari bermula dari 6 hingga 11 pagi dan dari 3 petang hingga 8 malam.
-- BERNAMA
#Atlet Muay Thai #atlet negara #Muay Thai #saingan profesional #seni bela diri #seni pertahan diri #yhai;land
;