Atlet negara berjaya menyatukan hati kita semua - PM Najib
Bernama
Ogos 26, 2016 19:09 MYT
Ogos 26, 2016 19:09 MYT
Latihan sukan negara perlu fokus kepada daya kekuatan mental dalam memupuk aspirasi para atlet Malaysia untuk lebih berjaya di peringkat teratas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata program pembangunan sukan tanah air telah berjaya meningkatkan prestasi fizikal sukan negara.
"Hal ini supaya atlet-atlet lebih dahagakan status juara dunia itu bukan sahaja demi negara tetapi untuk diri mereka sendiri," katanya menerusi ucapan yang dimuat naik dalam laman blog rasminya, NajibRazak.com.
Beliau berkata pencapaian kontinjen Olimpik negara di Rio de Janeiro merupakan rekod terbaik dalam temasya sukan terbesar dunia itu yang menyaksikan mereka memungut lima pingat berbanding satu atau dua pingat pada kejohanan Olimpik sebelum ini.
Najib berkata kejayaan itu merupakan bakti yang tidak ternilai oleh atlet negara.
"Walau apa pun prestasi yang dicapai, sedar atau tidak, atlet-atlet negara telah berjaya menyatukan hati kita semua, tidak kiralah apa fahaman politik, asal usul kita, semuanya sehati sejiwa memberi sokongan padu buat wira dan wirawati negara di Rio, Brazil baru-baru ini," katanya.
Najib berkata setiap rakyat Malaysia memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan moral kepada atlet negara kerana suntikan semangat itulah yang memberi kekuatan untuk negara.
Katanya sokongan itu mampu membantu para atlet meraih prestasi yang lebih tinggi terutama sekali pada tahun hadapan apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA dan seterusnya di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Secara peribadi, perdana menteri berkata sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 tahun ini sangat bermakna, khususnya setelah negara berjaya mencapai rekod terbaik dalam temasya itu.
Di Rio, kontinjen negara meraih empat pingat perak dan satu gangsa, iaitu pencapaian terbaik sepanjang penyertaan kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik sejak kali pertama pada 1956.
#atlet Malaysia
#Datuk Seri Najib Tun Razak
#latihan sukan
#program pembangunan sukan
#Rio 2016
#Sukan Olimpik